KUALA LUMPUR 1 Dis – Tawaran awam permulaan (IPO) LAC Med Berhad yang bakal disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia mendapat sambutan menggalakkan dengan bahagian runcitnya terlebih langgan sebanyak 12.64 kali.
IPO LAC melibatkan 104.2 juta saham, terdiri daripada 74.2 juta saham baharu melalui isu awam dan 30 juta saham sedia ada melalui tawaran jualan.
Tawaran institusi sebanyak 80 juta saham juga dilanggan sepenuhnya, termasuk 50 juta saham yang diperuntukkan kepada pelabur Bumiputera yang diluluskan MITI.
Bagi bahagian runcit, 20 juta saham ditawarkan kepada orang awam Malaysia berjaya dilanggan sepenuhnya daripada 6,649 permohonan, dengan bahagian Bumiputera menerima 3,427 permohonan untuk 118.5 juta saham, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 10.85 kali.
Selain itu, bahagian orang awam merekodkan 3,222 permohonan untuk 154.3 juta saham, mewakili kadar terlebih langgan sebanyak 14.43 kali.
Sementara itu, 4.2 juta saham diperuntukkan kepada pengarah, pekerja dan individu yang menyumbang kepada kejayaan LAC juga dilanggan sepenuhnya.
Tawaran institusi yang menggunakan kaedah bookbuilding menarik permintaan luar biasa dengan 30 juta saham mencapai langganan lebih 10 kali daripada pelabur institusi dan terpilih.
Harga IPO ditetapkan pada RM0.75 sesaham bagi bahagian institusi dan runcit.
Notis peruntukan saham akan dihantar kepada semua pemohon yang berjaya selewat-lewatnya pada 8 Disember 2025.
RHB Investment Bank Berhad bertindak sebagai penasihat utama, penjamin bersama dan ejen penempatan tunggal, manakala Alliance Islamic Bank Berhad sebagai penjamin bersama, dengan AscendServ Capital Markets Services Sdn. Bhd. menguruskan pengurusan tawaran runcit.
Menurut penyedia peranti dan rumusan perubatan bersepadu itu, IPO tersebut dijangka meraih RM55.6 juta, serta bakal mengukuh kedudukannya dalam negara dan meluaskan operasi ke Indonesia.
Daripada jumlah dana tersebut katanya, RM8 juta diperuntukkan bagi melancarkan dua segmen baharu iaitu Equipment-as-a-Service (EaaS) dan Medical Device Asset Management Services (MEAMS).
"Ia membantu kami mengoptimumkan operasi dan menambah asas pendapatan berulang syarikat, dengan RM12 juta disalurkan untuk penubuhan ibu pejabat baharu," kata LAC Med dalam kenyataan hari ini.
Premis itu merangkumi kemudahan stor diperluas serta ruang pameran produk, manakala RM8 juta lagi dikhususkan bagi pengembangan di Indonesia yang menawarkan permintaan kukuh peranti perubatan. - DagangNews.com








