Institut Pengarah Korporat Malaysia umum pelantikan Jackie Mah sebagai Presiden, CEO | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Institut Pengarah Korporat Malaysia umum pelantikan Jackie Mah sebagai Presiden, CEO

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 7 Mac — Institut Pengarah Korporat Malaysia (ICDM) melantik Jackie Mah sebagai Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu bermula pada 5 Ogos 2025.
 

Ia susulan peletakan jawatan oleh penyandang sulung posisi berkenaan, Michele Kythe Lim pada tarikh tersebut selepas lebih tujuh tahun beliau berkhidmat.
 

Langkah tersebut juga sebahagian daripada proses penggantian secara berstruktur Lembaga Pengarah ICDM dengan perubahan penting dalam pasukan kepimpinannya.
 

Pengerusi Lembaga Pengarah ICDM, Tan Sri Zarinah Anwar berkata, sebagai penyandang pertama jawatan itu, Michele telah memainkan peranan penting dalam institut itu.
 

"Beliau berjaya meletakkan ICDM sebagai rangkaian dan sumber terkemuka bagi meningkatkan tahap profesionalisme pengarah di seluruh Malaysia," katanya dalam kenyataan.
 

Di bawah kepimpinannya, ICDM mencapai pelbagai kejayaan penting, termasuk meningkatkan barisan pengarah kali pertama dan menambah baik kepelbagaian dalam lembaga pengarah.
 

Bagi pihak Lembaga Pengarah ICDM, Zarinah dalam kenyataan tersebut merakamkan ucapan terima kasih kepada Michele atas segala sumbangannya selama ini.
 

Sementara itu, Jackie yang kini berkhidmat sebagai Naib Presiden Eksekutif ICDM yang dipegang sejak 2018, sebelum itu berpengalaman bertugas dalam pelbagai organisasi.
 

Beliau pernah menjadi Ketua Pegawai Kewangan Yayasan Forum Ekonomi Islam Dunia serta akauntan bertauliah yang memegang keahlian dengan badan perakaunan profesional ACCA dan MIA.
 

"Jackie memiliki pengetahuan dan keupayaan yang penting dalam membawa ICDM ke fasa seterusnya termasuk penubuhan rangka kerja untuk piawaian pensijilan profesional yang diiktiraf untuk jawatan pengarah," katanya.
 

ICDM akan terus memperkukuhkan pasukan pengurusan dan kecekapan kakitangan mereka untuk mencapai pertumbuhan dan matlamat yang dicita-citakan ke arah profesionalisasi pengarah.
 

Dalam beberapa bulan akan datang, Michele bagaimanapun akan terus bekerjasama rapat dengan Jackie untuk memastikan penyerahan tanggungjawab yang lancar. - DagangNews.com