KUALA LUMPUR 11 April - Kerajaan memperkenalkan insentif berjumlah RM3.5 juta bagi membantu peniaga buah kelapa sawit mendapatkan pensijilan Malaysian Sustainable Palm Oil (MSPO), dalam usaha memperkukuh daya tahan rantaian bekalan industri sawit negara.
Menteri Perladangan dan Komoditi, Dr. Noraini Ahmad berkata, inisiatif itu merupakan langkah proaktif kerajaan untuk memastikan pemain industri, khususnya peniaga buah kelapa sawit, dapat memenuhi keperluan pematuhan semasa serta menyesuaikan diri dengan piawaian kemampanan global yang semakin ketat.
“Insentif ini bukan sahaja membantu meringankan beban kos pematuhan, tetapi turut memperkukuh keseluruhan ekosistem rantaian bekalan sawit negara agar lebih berdaya tahan dan kompetitif,” katanya dalam satu kenyataan.
Lebih 3,000 peniaga buah kelapa sawit di seluruh negara dijangka mendapat manfaat daripada insentif tersebut, tertakluk kepada syarat dan kelayakan yang ditetapkan, ujar beliau.
Permohonan bagi insentif itu boleh dikemukakan mulai 15 April 2026 melalui sistem e-MSPO yang dikendalikan oleh Malaysian Sustainable Palm Oil.
Dr. Noraini berkata, pelaksanaan inisiatif tersebut selaras dengan usaha memperkukuh pelaksanaan menyeluruh MSPO 2.0, yang menjadi tonggak kepada agenda kemampanan industri sawit negara.
“Kerajaan komited memastikan industri sawit Malaysia terus berkembang secara mampan, bertanggungjawab dan berdaya tahan, sejajar dengan keperluan pasaran domestik dan antarabangsa,” ujarnya.
Tambah beliau, langkah itu dijangka memperluas liputan pensijilan dalam kalangan peniaga buah kelapa sawit, sekali gus meningkatkan keyakinan terhadap keseluruhan rantaian bekalan industri berkenaan.
Dalam masa sama, kerajaan akan terus mengambil pendekatan berfokus dan bertanggungjawab bagi memastikan sektor sawit negara kekal stabil serta diyakini oleh pelabur dan pemain pasaran global.
“Inisiatif ini mencerminkan usaha berterusan kerajaan dalam menyokong pemain industri secara langsung, di samping menjaga kebajikan rakyat dan memperkukuh kedudukan sektor sawit Malaysia,” katanya. - DagangNews.com








