KUALA LUMPUR 10 Nov – Program INNOVATHON musim ketiga mencatat penyertaan tertinggi sejak penganjurannya apabila menerima 2,032 penyertaan tahun ini, meningkat lebih 100% berbanding 1,003 penyertaan pada 2024, kata Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.
Beliau yang turut memangku tugas Menteri Ekonomi berkata, peningkatan itu menunjukkan rakyat Malaysia semakin berani memperagakan produk inovasi tempatan yang berkualiti tinggi dan berimpak besar terhadap masyarakat.
“Penyertaan yang meningkat ini membuktikan semangat inovasi dalam kalangan rakyat semakin kukuh dan menjadi bukti Malaysia tidak pernah ketandusan bakat dalam bidang penyelidikan, pembangunan, pengkomersialan dan inovasi (R&D&C&I),” katanya pada Majlis Pelancaran INNOVATHON musim ketiga di sini, hari ini.
Program anjuran bersama Kementerian Ekonomi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) dengan kerjasama Astro itu menyediakan Dana Sokongan Pembangunan Perniagaan berjumlah RM1.65 juta, meningkat daripada RM1 juta tahun lalu.
Menurut Amir Hamzah, seramai 56 inovator tempatan akan bersaing merebut Hadiah Utama bernilai RM100,000 tunai, selain dana pembangunan tambahan RM500,000 bagi mengembangkan potensi inovasi masing-masing.
Beliau berkata, uji bakat bagi musim ketiga telah dijalankan di 11 lokasi seluruh negara, melibatkan lima lokasi bersasar di bawah Cradle Fund, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, National Institutes of Health, Universiti Putra Malaysia (UPM) dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), serta enam zon terbuka termasuk Kuala Lumpur, Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Sabah dan Sarawak.
“Uji bakat bersasar ini adalah penambahbaikan hasil post mortem musim pertama dan kedua. Ia memperkukuh jaringan antara agensi kerajaan, universiti dan industri untuk mencungkil lebih ramai inovator muda di seluruh negara,” katanya.
Katanya lagi, INNOVATHON Musim Ketiga akan ditayangkan selama lapan episod bermula 6 Disember 2025 hingga 25 Januari 2026 di saluran Astro Ria dan TV1 (RTM) bagi memberi pendedahan lebih luas kepada masyarakat terhadap produk dan idea inovasi tempatan.
Menurut Amir Hamzah, program ini bukan sekadar rancangan realiti TV, tetapi pemangkin kepada cita-cita nasional membudayakan inovasi, meningkatkan pelaburan swasta dalam aktiviti inovatif dan melonjakkan pendaftaran harta intelek tempatan.
“Melalui INNOVATHON, kita sedang membina ekosistem inovasi yang inklusif dan mampan, di mana idea rakyat boleh diterjemahkan kepada peluang perniagaan dan manfaat sebenar kepada ekonomi negara,” katanya.
Beliau menambah, penganjuran INNOVATHON selari dengan keutamaan di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMKe-13) yang memberi tumpuan kepada strategi Pemantapan Ekosistem R&D&C&I dalam usaha meningkatkan kerencaman dan daya saing ekonomi negara.
Amir Hamzah berkata, trend tiga musim lalu menunjukkan 40% inovasi tertumpu kepada penyelesaian berkaitan kehidupan masyarakat, termasuk bidang automotif, perindustrian dan peralatan kesihatan, sekali gus mencerminkan kematangan idea inovator tempatan.
“Program ini telah berjaya menjadi jambatan antara inovator dan pelabur, mempercepatkan pengkomersialan hasil ciptaan tempatan dan menyumbang kepada kesejahteraan rakyat secara menyeluruh,” katanya. - DagangNews.com








