Industri minyak dan gas berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir: Petronas | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Industri minyak dan gas berdepan masalah kekurangan tenaga kerja mahir: Petronas

Gambar/FB Petronas
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 3 Feb - Industri minyak dan gas (O&G) Malaysia berdepan kekurangan tenaga kerja berkemahiran untuk keselamatan loji dan kecekapan operasi, terutamanya bagi penutupan dan penyelenggaraan loji.

 

Menurut Petroliam Nasional Bhd (Petronas), pihaknya merancang penutupan dan penyelenggaraan kira-kira 50 loji dari 2025 hingga 2027 yang memerlukan sekitar 25,000 tenaga kerja mahir menjelang suku kedua 2026 (2Q26) dan suku pertama 2027 (1Q27). 

 

"Disebabkan kepentingan penutupan dan penyelenggaraan loji, tenaga kerja berkemahiran adalah penting dan akan memberi kesan besar terhadap keselamatan dan kecekapan operasi loji, sekali gus menekankan keperluan untuk menangani kekurangan kemahiran dalam industri ini. 

 

 

"Pada masa ini, sektor ini sedang berdepan dengan kekurangan bakat dalam kalangan tenaga kerja berkemahiran yang boleh memberi kesan terhadap masa depan industri O&G Malaysia," kata Petronas dalam Laporan Aktiviti Outlook 2025-2027.

 

Menurut rancangan Petronas, penutupan dan penyelenggaraan loji tersebut dijadualkan antara 2025 hingga 2027 di lima kawasan utama iaitu Sabah, Sarawak, Kertih, Melaka dan Pengerang.

 

Petronas memaklumkan, antara faktor kekurangan pekerja mahir itu adalah peluang kerja yang lebih baik, gaji yang tidak kompetitif, peluang pembangunan kerjaya yang terhad, keseimbangan kerja-hidup yang tidak memadai, ekonomi gig yang semakin menarik, serta kurangnya kesedaran mengenai peluang dan program latihan yang tersedia dalam industri.

 

Bagi menangani isu kekurangan tenaga kerja tersebut, Petronas mengemukakan beberapa penyelesaian yang berpotensi, termasuk meningkatkan prospek pekerjaan dengan menawarkan gaji yang lebih kompetitif dan peluang pembangunan kerjaya. 

 

Petronas juga mencadangkan untuk meningkatkan penglibatan bakat dengan kerjasama agensi kerajaan, badan pensijilan, pemain OGSE dan institusi pendidikan bagi mendidik bakat serta membangunkan program bagi menangani kekurangan kemahiran. 

 

Selain itu, kempen kesedaran dan program biasiswa dicadangkan untuk menarik minat generasi muda. 

 

"Isu kekurangan tenaga kerja berkemahiran dalam industri minyak dan gas Malaysia adalah cabaran besar yang memerlukan tumpuan segera. 

 

"Dengan melaksanakan penyelesaian yang berdaya maju, Malaysia akan memastikan industri minyak dan gasnya kekal kompetitif, inovatif dan mampu memacu pertumbuhan ekonomi," katanya. - DagangNews.com