Indeks Keyakinan Pengguna di Malaysia naik, atasi Jepun dan Korea Selatan - Ipsos | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Indeks Keyakinan Pengguna di Malaysia naik, atasi Jepun dan Korea Selatan - Ipsos

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 18 Feb — Tahap kepercayaan pengguna Malaysia mengatasi beberapa negara serantau, malahan melebihi purata global, selain Jepun dan Korea Selatan, menurut Indeks Keyakinan Pengguna Ipsos yang terkini.
 

Laporan tinjauan awam itu mendedahkan bahawa indeks bagi negara ini meningkat sebanyak empat peratus bulan lepas berbanding tempoh yang sama tahun lalu, dan juga naik sebanyak dua peratus daripada Disember 2024.
 

“Pertumbuhan positif ekonomi Malaysia dan inflasi yang stabil pada 2024 telah banyak menyumbang kepada prospek pengguna yang menggalakkan,” kata Pengarah Negara Interim Ipsos Malaysia, Evelyn Tan, dalam satu kenyataan.
 

Tambahnya, indeks negara ini melepasi purata global, serta mengatasi Jepun dan Korea Selatan, menandakan bahawa sentimen am pengguna Malaysia lebih optimistik mengenai prospek ekonomi mereka berbanding rakyat negara lain.
 

Laporan berdasarkan tinjauan bulanan melibatkan 500 rakyat Malaysia berumur 18 hingga 74 tahun itu menunjukkan keyakinan berkembang merentasi penunjuk utama seperti keselamatan kerjaya, pelaburan masa depan dan kuasa beli.
 

Faktor-faktor ini menggambarkan bahawa warga Malaysia berasa semakin selamat dalam situasi kewangan mereka, yang mungkin mendorong perbelanjaan pengguna lebih tinggi dan seterusnya meningkatkan rantaian aktiviti ekonomi.
 

"Antara komponen utama indeks Ipsos itu ialah kadar keyakinan responden terhadap aspek keterjaminan pekerjaan mereka dengan menyaksikan peningkatan sebanyak enam peratus berbanding pada Januari 2024," tambah Evelyn.
 

Begitu juga ujarnya, keyakinan dalam pelaburan masa depan dan kesediaan untuk melakukan pembelian utama yang meningkat sebanyak empat hingga enam peratus, mencerminkan pandangan positif terhadap kestabilan kewangan.
 

Peningkatan kadar kepercayaan para pengguna secara umum ini sejajar dengan trend aliran ekonomi yang lebih luas di Asia Tenggara, dengan tahap keyakinan serantau adalah kekal lebih tinggi daripada kadar purata global.
 

Malaysia, bersama-sama dengan Indonesia dan Singapura, malahan masih mendahului dalam sentimen pengguna di rantau ini yang menunjukkan wujud daya tahan walaupun perlu menghadapi banyak cabaran sengit ekonomi luar.
 

"Walau bagaimanapun, sementara keyakinan pengguna dilihat kekal kukuh, laporan ini juga menekankan potensi risiko yang boleh memberikan kesan kepada sentimen umum untuk pengguna bergerak ke hadapan," jelas Evelyn.
 

Beliau seterusnya memberi amaran bahawa aspek ketidaktentuan geopolitik sejagat, isu ketegangan perdagangan antarabangsa dan perubahan dasar dalam negeri boleh menimbulkan cabaran kepada pergerakan indeks tersebut.
 

Justeru tegasnya, melihat ke hadapan, akan ada peluang dan cabaran baharu pada 2025 sambil menjangka pertumbuhan ekonomi positif, di sebalik potensi gangguan seperti perang tarif dan rasionalisasi subsidi. - DagangNews.com