IHH Healthcare catat keuntungan bersih 3QFY2025 RM616 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

IHH Healthcare catat keuntungan bersih 3QFY2025 RM616 juta

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 27 NovIHH Healthcare Bhd mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM616 juta bagi suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), meningkat 15.36% berbanding RM534 juta pada tempoh sama tahun lalu, disokong perkhidmatan day care serta kawalan kos yang lebih berkesan, khususnya di Malaysia dan India.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan penjagaan kesihatan itu turut mencatatkan hasil suku tahunan sebanyak RM6.57 bilion, meningkat 16.43% daripada RM5.64 bilion pada 3QFY2024, dipacu volum pesakit lebih tinggi di pasaran teras.

 

Bagaimanapun, tiada dividen diisytiharkan bagi suku kewangan berkenaan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan IHH, Dr Prem Kumar Nair berkata, prestasi kewangan kekal kukuh walaupun kumpulan sedang melaksanakan transformasi berbilang tahun untuk menangkap peluang jangka panjang industri.

 

“Syarikat mencatatkan prestasi kewangan yang kukuh meskipun sedang melaksanakan agenda transformasi jangka panjang untuk menjangka perubahan dan merebut peluang masa depan,” katanya.

 

Beliau berkata, pendekatan pertumbuhan yang cekap dari segi modal serta kepimpinan klinikal dijangka membolehkan kumpulan mengekalkan margin dan pulangan yang sihat.

 

Namun bagi tempoh sembilan bulan FY2025, keuntungan bersih IHH susut 18.29% kepada RM1.57 bilion berbanding RM1.93 bilion pada tempoh sama tahun lalu, akibat kos yang lebih tinggi, walaupun hasil meningkat 8.31% kepada RM19.16 bilion daripada RM17.69 bilion.

 

IHH berkata, penyusutan keuntungan bagi tempoh sembilan bulan itu mencerminkan tekanan kos operasi yang lebih tinggi, meskipun permintaan terhadap perkhidmatan penjagaan kesihatan terus berkembang.

 

Melangkah ke hadapan, kumpulan itu kekal yakin terhadap trajektori pertumbuhannya sejajar dengan peningkatan permintaan penjagaan kesihatan di pasaran teras.

 

Di Malaysia, IHH akan terus menangani tekanan pihak pembayar serta inflasi melalui penyampaian penjagaan yang lebih cekap.

 

Di Singapura, prestasi Hospital Mount Elizabeth Orchard dijangka menstabil menjelang suku kedua 2026.

 

IHH juga memaklumkan penyertaan penuhnya dalam inisiatif National Electronic Health Record (NEHR) akan membolehkan proses membuat keputusan yang lebih pantas serta meningkatkan kecekapan operasi.

 

Susulan penyempurnaan pengambilalihan Fortis di India, IHH kini mempunyai fleksibiliti lebih besar untuk mengejar pertumbuhan serta mengoptimumkan struktur modalnya di negara itu.

 

Langkah tersebut merupakan sebahagian daripada agenda transformasi berbilang tahun bagi memperkukuh daya tahan perniagaan dan mempercepat pertumbuhan.

 

Transformasi itu akan dipacu oleh tujuh bidang tumpuan merangkumi kecemerlangan klinikal, pengalaman pesakit, model penjagaan baharu, kecemerlangan operasi, penglibatan pembayar dan pengawal selia, nilai kepada pekerja dan doktor, serta kemajuan teknologi, data dan kecerdasan buatan.

 

“Syarikat akan memberi tumpuan kepada peningkatan keuntungan dan mengekalkan ROE yang sihat, selain mengamalkan pengurusan modal berhemat serta mengurangkan tekanan inflasi dan kadar faedah,” katanya.

 

Saham IHH Healthcare ditutup naik tiga sen atau 0.37% kepada RM8.07, memberikan kumpulan itu modalisasi pasaran sebanyak RM71.31 bilion. - DagangNews.com