KUALA LUMPUR 21 Nov – IGB Real Estate Investment Trust (IGB REIT) telah selesai melengkapkan pengambilalihan The Mall, Mid Valley Southkey (MVS Mall) bernilai RM2.65 bilion di Johor, sekaligus melonjakkan jumlah aset di bawah pengurusan amanah itu kepada RM8.09 bilion berbanding RM5.44 bilion sebelum ini
.
IGB REIT berkata, harga pembelian dibayar menggunakan RM1 bilion tunai dan RM1.65 bilion melalui penerbitan 699.15 juta unit baharu pada RM2.36 sesunit, yang akan disenaraikan di Pasaran Utama Bursa Malaysia pada Jumaat, 21 November.
“Sebahagian bayaran tunai dibiayai melalui nota pertengahan jangka masa (medium-term notes) bernilai RM1.03 bilion yang dinilai AAA berdasarkan penarafan kredit korporat yang diterbitkan melalui penerbit milik penuh IGB REIT iaitu IGB REIT MVS Capital Bhd dengan kadar faedah gabungan sebanyak 3.79% setahun,” katanya dalam satu kenyataan.
MVS Mall, yang terletak di teras pembangunan bersepadu Mid Valley Southkey di Johor Bahru, kini mempunyai kadar penyewaan penuh bagi ruang boleh-sewa bersih seluas 1.53 juta kaki persegi.
“Pengurus IGB REIT Management Sdn Bhd menjangkakan MVS Mall akan menambah nilai kepada portfolio IGB REIT dengan menjadi pelaburan yang meningkatkan hasil, menyediakan pendapatan berulang yang stabil serta berpotensi pertumbuhan yang kukuh,” menurut kenyataan itu.
IGB REIT memiliki Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall, kedua-duanya terletak di Lembah Kelang serta MVS Mall di Johor Bahru. - BERNAMA








