KUALA LUMPUR 5 Feb – Lembaga Perkhidmatan Kewangan Islam (IFSB) melantik Abdullah Haron sebagai Timbalan Setiausaha Agung yang baharu dan berkuat kuasa pada 4 Februari 2025 lalu.
Beliau cukup dihormati selaku pakar kewangan yang sangat disegani kerana berpengalaman luas selama lebih tiga dekad dalam bidang kawal selia kewangan, pengurusan risiko dan kewangan Islam.
Senarai itu menurut kenyataan IFSB, termasuklah pernah bertugas dengan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), Bank Negara Malaysia (BNM), Bank Pusat Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan IFSB sendiri.
Sebagai Pakar Kanan Sektor Kewangan di IMF, Abdullah menguruskan inisiatif bantuan teknikal dan menyelia pelaksanaan Tinjauan Kestabilan Sektor Kewangan (FSSR) bagi negara anggota yang terpilih.
Beliau mengambil bahagian dalam Program Penilaian Sektor Kewangan (FSAP), pengawasan Artikel IV, dan memainkan peranan penting untuk membentuk pendekatan IMF terhadap aktiviti perbankan Islam.
Sebelum IMF, beliau ialah Penyemak di Jabatan Pengawasan Perbankan di Bank Pusat UAE, serta membantu penubuhan Pihak Berkuasa Syariah Tinggi dan menyepadukan kewangan Islam untuk rangka kerja berhemat negara itu.
Abdullah sebelum ini juga pernah berkhidmat sebagai Penolong Setiausaha Agung di IFSB dari 2003 hingga 2013. Lembaga itu yang berpangkalan di BNM di sini telah dibentuk pada 2002 lalu.
Sebagai salah seorang ketua pasukan pengasas, beliau memainkan peranan penting membangunkan piawaian pengawalseliaan perintis IFSB dan menerajui inisiatif utama dalam peraturan kewangan Islam global.
Kerjaya beliau bermula di BNM pada 1991, diikuti dengan peranan kepimpinan dalam pengurusan risiko pasaran di bank lain antaranya Maybank, Standard Chartered Malaysia dan Arab-Malaysian Merchant Bank.
Abdullah memiliki Ijazah Sarjana Perniagaan dari Universiti Ohio serta ijazah Sarjana Muda Seni Liberal dan Sains (Sains Aktuari) dari University of Illinois Urbana-Champaign. - DagangNews.com








