Huawei Malaysia terima pembiayaan RM350 juta dari AmBank perkukuh infrastruktur digital negara | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Huawei Malaysia terima pembiayaan RM350 juta dari AmBank perkukuh infrastruktur digital negara

KUALA LUMPUR 1 Dis – Kumpulan AmBank dan Huawei Technologies (Malaysia) Sdn Bhd (Huawei Malaysia) menandatangani perjanjian pembiayaan rantaian bekalan bernilai RM350 juta bagi memperkukuh infrastruktur digital Malaysia.

 

Dalam satu kenyataan bersama hari ini, Kumpulan AmBank menyatakan bahawa pembiayaan ini menekankan komitmennya untuk menyokong aspirasi digital dan ekonomi jangka panjang negara.

 

"Melalui kerjasama ini, Kumpulan AmBank bertujuan untuk menyokong pelaksanaan rangkaian 5G kedua Malaysia serta mengukuhkan infrastruktur digital negara.

 

"Kumpulan ini akan memudahkan pelaburan langsung asing (FDI) dengan menyediakan penyelesaian kewangan khusus yang memenuhi keperluan syarikat multinasional yang beroperasi di Malaysia dan memacu transformasi digital negara sejajar dengan visi Malaysia untuk menjadi ekonomi berasaskan teknologi dan bersedia menghadapi masa hadapan," menurut kenyataan itu.

 

Kumpulan AmBank menekankan bahawa hubungan perbankan ini memperkukuh peranan bank sebagai rakan kewangan dipercayai bagi peneraju teknologi global dan mengesahkan lagi dedikasi bank untuk membolehkan pelaburan langsung asing strategik yang menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi Malaysia.

 

Sementara itu, Pengarah Urusan Perniagaan Kumpulan AmBank, Christopher Yap berkata, perjanjian ini menekankan hubungan perbankan jangka panjang mereka dengan Huawei Malaysia dan visi bersama untuk memacu transformasi digital Malaysia.

 

“Pembiayaan rantaian bekalan bernilai RM350 juta ini menunjukkan pertumbuhan progresif kerjasama kami dengan Huawei Malaysia dan keyakinan kami dalam menyokong aspirasi digital Malaysia secara meluas.

 

"Dengan kerjasama ini, kami berhasrat menarik pelaburan asing bernilai tinggi dan mempercepat pembangunan ekosistem digital yang berdaya tahan serta bersedia menghadapi masa hadapan untuk negara," tambahnya. -- BERNAMA