KUALA LUMPUR 5 Jun — Huat Lai Resources Berhad merancang untuk membangunkan sebuah kemudahan bagi pengeluaran ayam telur tanpa sangkar terbesar di negara ini, dan akan disiapkan menjelang suku keempat 2025.
Syarikat tersebut, yang telah dinyahsenaraikan daripada Bursa Malaysia pada 2017, berkata, operasinya di Serkam, Melaka bakal menempatkan sejumlah 200,000 lapisan dalam sistem kandang unggas moden pelbagai peringkat.
Ia merupakan pengembangan ketara fasiliti bebas sangkar di ladang seluas 6.1 hektar itu yang beroperasi sejak 1994, selepas kejayaan projek sama oleh anak syarikatnya, Chew’s Agriculture Pte Ltd di Singapura pada 2012.
"Kemudahan baharu ini akan meningkatkan lebih empat kali ganda kapasiti semasa hanya sebanyak 60,000 ekor yang mewujudkan rantaian bekalan telur stabil untuk pasaran tempatan dan luar negara," katanya dalam kenyataan.
Selain itu, 10 kandang pengeluaran telur sedia ada, yang menempatkan 200,000 ekor burung, akan beralih kepada sistem bebas sangkar dalam beberapa bulan lagi, dan mewujudkan operasi tanpa sangkar paling besar di Malaysia.
Kata Huat Lai, ayam yang diternak secara tanpa sangkar kelazimannya diberi kebebasan untuk bergerak dalam persekitaran lebih terbuka, serta mampu meningkatkan aspek kebajikan haiwan dan kualiti makanan diproses.
Menurut Pihak Berkuasa Keselamatan Makanan Eropah, ladang ayam telur yang dibina tiada sangkar mempunyai kadar pencemaran sehingga 25 kali ganda lebih rendah daripada penyebaran jangkitan bakteria utama Salmonella.
Pengurus Pembangunan Perniagaan Kumpulan Huat Lai, Edvin Lim berkta, dalam dua hingga tiga tahun yang lalu, syarikat itu telah melihat perubahan luar biasa dalam permintaan korporat untuk telur tanpa ada sangkar.
"Walaupun pengguna di Malaysia telah lama menunjukkan minat dalam kebajikan haiwan dan sumber mampan, sektor korporat seperti hotel dan peruncit khususnya sudah memacu lonjakan permintaan baru-baru ini," kata beliau.
Rangkaian runcit Mydin, Jaya Grocer dan Aeon Malaysia, serta firma perhotelan Sunway dan Hatten selain jaringan restoran seperti Old Town White Coffee sendiri berminat hanya menggunakan produk telur ayam tanpa sangkar.
Beliau juga memetik tinjauan GMO Research menunjukkan 77 peratus pengguna percaya telur di restoran, peruncit dan pengeluar makanan berbungkus harus daripada ayam tanpa sangkar, dengan 62 peratus sanggup membayar lebih.
“Evolusi Huat Lai daripada perniagaan kecil keluarga kepada perintis dalam pengeluaran telur tanpa sangkar berskala besar di Malaysia menunjukkan visi hebat,” kata Pengurus Rantaian Bekalan Mampan Lever Foundation, Bagas Kusuma Jati.
Yayasan itu merupakan badan bukan kerajaan yang bekerjasama dengan syarikat untuk beralih kepada bekalan produk lebih berperikemanusiaan dan mampan serta bekerjasama dengan Huat Lai dalam pengembangan telur tanpa sangkar.
Beliau menekankan pelaburan ketara infrastruktur mendahului permintaan pasaran untuk mencerminkan keberanian dan kepimpinan berpandangan ke hadapan diperlukan dalam sektor makanan di rantau ASEAN. - DagangNews.com








