KUALA LUMPUR 10 Nov – Hospital Pakar Selgate Rawang menjadi tuan rumah bagi program Jelajah Madani - Inisiatif Hospital Rakan Bayi (BFHI) 2025 dengan kerjasama Pusat Laktasi Kebangsaan di bawah Kementerian Kesihatan Malaysia.
Program itu bertujuan meningkatkan kesedaran awam mengenai kesihatan ibu dan anak, mempromosikan penyusuan susu ibu secara eksklusif, serta memperkukuh pelaksanaan akreditasi BFHI dalam kalangan hospital swasta di Malaysia.
Program di Hospital Pakar Selgate Rawang itu dimulakan dengan pemeriksaan kesihatan asas percuma termasuk tekanan darah, glukosa dan BMI.
Acara diteruskan dengan ceramah kesihatan yang disampaikan oleh Pakar Perbidanan & Sakit Puan, Dr. Selva Ganesan Sockalingam mengenai kesihatan wanita, dan Pakar Bedah Am & Robotik, Dr. Shahril Khalid yang memberikan taklimat mengenai pemeriksaan payudara.
Ketua Pegawai Eksekutif Hospital Pakar Selgate Rawang (Wilayah Tengah), Miranda Harumal berkata, sokongan kepada ibu dan keluarga merupakan asas kepada pembentukan masyarakat yang lebih sihat dan sejahtera.
Beliau berkata, melalui inisiatif seperti Jelajah Madani BFHI, hospital komited memberikan penjagaan yang memfokuskan keluarga dan memperkasakan wanita dengan ilmu dan sokongan yang sewajarnya.


Para peserta juga dibawa melawat wad bersalin, perkhidmatan pediatrik dan bilik bersalin bagi memahami dengan lebih mendalam perkhidmatan penjagaan yang ditawarkan hospital.
Kemuncak acara ialah majlis pelepasan konvoi 50 penunggang motosikal wanita sebagai simbol pemerkasaan wanita serta sokongan terhadap advokasi kesihatan ibu.
Konvoi ini menandakan kesinambungan perjalanan Jelajah BFHI ke hospital-hospital swasta lain di seluruh Malaysia.

Program ini turut dihadiri pasukan pengurusan kanan hospital, pakar perunding, kakitangan hospital serta wakil Kementerian Kesihatan Malaysia, mencerminkan komitmen berterusan hospital terhadap kesejahteraan keluarga dan penglibatan komuniti.
Hospital Pakar Selgate Rawang merupakan fasiliti penjagaan kesihatan moden dan pelbagai disiplin yang komited memberikan rawatan pakar berkualiti tinggi pada kadar berpatutan.
Terletak di lokasi strategik di Rawang, hospital ini menawarkan pelbagai perkhidmatan perubatan, pembedahan dan diagnostik yang disokong pakar berpengalaman, teknologi perubatan canggih serta penjagaan berpusatkan pesakit. - DagangNews.com








