HOMEDEC ramal pasaran pengubahsuaian, hiasan rumah cecah RM116 bilion | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HOMEDEC ramal pasaran pengubahsuaian, hiasan rumah cecah RM116 bilion

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 14 Mac —  HOMEDEC melihat saiz pasaran yang berpotensi bernilai antara RM69 bilion hingga RM116 bilion dalam nilai perniagaan pengubahsuaian dan hiasan dalaman rumah di seluruh negara pada masa akan datang.
 

Syarikat tersebut berkata, keyakinan positif itu berdasarkan urus niaga hartanah Malaysia yang melonjak ke paras tertinggi dalam sedekad iaitu sebanyak RM232.3 bilion pada 2024 dan memacu perkembangan perniagaan aktiviti pengubahsuaian serta hiasan dalaman.
 

Presiden CIS Network Sdn Bhd, Datuk Vincent Lim, berkata, HOMEDEC bersedia menawarkan gaya hidup dan pengalaman idea baharu untuk pemilik rumah dengan platform lengkap bagi meneroka trend dan inovasi terkini dalam pengubahsuaian dan reka bentuk dalaman.
 

"Kami percaya kunci rumah baharu apabila diterima seharusnya menjadi salah satu detik yang paling gembira dalam hidup, dan perjalanan untuk mengubah ruang idaman anda sepatutnya adalah sama menggembirakan,” katanya dalam satu kenyataan.
 

Syarikat berkenaan pada ketika ini mengadakan HOMEDEC Showhome di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sehingga 16 Mac 2025 dengan pelawat boleh bertemu lebih 330 pempamer terkemuka di 1,200 reruai selain boleh mengambil bahagian dalam bengkel praktikal.
 

Pameran berprestij kali ini menampilkan produk kediaman premium, rumusan reka bentuk yang dipesan terlebih dahulu dan trend terkini dalam inovasi rumah daripada jenama yang dipercayai serta sesi interaktif direka untuk memberikan pandangan praktikal.

 

homedec
VINCENT LIM

 

“Misi kami adalah untuk menjadikan pengubahsuaian yang lancar dan bebas tekanan kerana setiap pemilik rumah berhak mendapat penyelesaian betul daripada pakar yang mengambil berat serta membantu anda membuat keputusan yang betul setiap langkah," kata Vincent.
 

Edisi HOMEDEC terkini itu kata beliau, turut menawarkan pengalaman yang memberi fokus kepada inspirasi gaya hidup dan konsep dipacu reka bentuk di samping pameran yang menampilkan tiga pereka berwawasan di bawah tema 'Seni Kehidupan'.
 

Ia turut mempamerkan visi serba mewah untuk mencerminkan komitmen pihak HOMEDEC memberi inspirasi kepada pemilik rumah agar dapat membuat sentuhan peribadi terhadap ruang kediaman mereka dengan bimbingan daripada pakar reka bentuk berpengalaman.
 

Pada masa sama kata Vincent, pihaknya menyedari bahawa dapur adalah nadi bagi setiap rumah, dan HOMEDEC mendedikasikan lebih daripada keseluruhan dewan untuk penyelesaian dapur yang menampilkan profesional bersedia membantu pemilik rumah mencipta dapur idaman mereka.
 

"Dengan slogan, 'Dapur Basah, Dapur Kering atau Satu Dapur?', dewan ini menawarkan kepada pengunjung segala-galanya yang mereka perlukan untuk mencipta dapur idaman tersendiri serta bazar alat dan perkakas menarik yang menjadikan memasak menjadi seronok," katanya.
 

Bersempena dengan Hari Raya Aidilfitri tidak lama lagi, HOMEDEC kali ini adalah peluang terbaik untuk pemilik rumah membeli-belah segala yang mereka perlukan untuk menyegarkan ruang kediaman mereka dan mencipta suasana perayaan yang ideal. - DagangNews.com