KUALA LUMPUR 1 Dis – Capital A Bhd dijangka mencatat pendapatan lebih kukuh pada suku keempat tahun kewangan 2025 (FY25), disokong prestasi suku ketiga yang sejajar jangkaan penganalisis, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB).
Bagi 3QFY25, Capital A merekodkan keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATMI) sebanyak RM254.8 juta, menjadikan jumlah keseluruhannya RM599.8 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama.
HLIB berkata, prestasi kumpulan pada 4Q dijangka dipacu oleh permintaan perjalanan yang lazimnya lebih kukuh pada hujung tahun, di samping harga bahan api jet yang semakin reda serta dolar AS yang lebih lemah, yang secara keseluruhan menyokong margin operasi kumpulan.
“Syarikat mengecualikan impak positif RM1.6 bilion di bawah Malaysian Financial Reporting Standards 5 dan keuntungan pertukaran asing RM814.1 juta dalam tempoh sembilan bulan tersebut.
“Syarikat menilai keputusan ini berada selaras dengan unjuran Patmi FY25 HLIB sebanyak RM948 juta, namun mengatasi anggaran konsensus pasaran sebanyak RM686 juta,” katanya dalam satu nota penyelidikan.
HLIB mengekalkan saranan ‘Beli’ terhadap saham Capital A dengan harga sasaran RM1.70, mencerminkan keyakinan terhadap prospek kumpulan yang kekal positif.
Namun, bank pelaburan itu memaklumkan harga sasaran akan disemak semula kepada RM1.05 susulan pelaksanaan latihan dividen secara in-specie oleh kumpulan. - DagangNews.com








