KUALA LUMPUR 1 Dis – Hengyuan Refining Company Berhad mencatat keuntungan bersih RM21.04 juta bagi suku ketiga 2025, berbanding kerugian RM165.10 juta pada suku yang sama tahun sebelumnya, menjadikannya suku terbaik syarikat sejak tahun kewangan 2022.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Hengyuan berkata, prestasi kukuh itu didorong oleh kecekapan operasi loji dan hasil pengeluaran yang lebih baik, selain margin keuntungan yang lebih tinggi untuk diesel dan bahan api jet.
“Hasil suku ketiga menurun 12% kepada RM3.62 bilion daripada RM4.12 bilion tahun lalu, berikutan harga produk lebih rendah dan kelemahan dolar AS berbanding ringgit.
“Bagi sembilan bulan pertama 2025, Hengyuan merekodkan penurunan keuntungan bersih kepada RM1.16 bilion daripada RM1.22 bilion pada tempoh sama tahun sebelumnya,” katanya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Kewangan Hengyuan Refining Company Berhad, Yeo Bee Hwan berkata, pihaknya gembira mengumumkan keputusan suku kewangan terkuat sejak FY22 itu.
“Pencapaian ini adalah hasil daripada usaha berterusan dan pelaburan untuk meningkatkan kecekapan loji, meningkatkan hasil pengeluaran, serta memanfaatkan peluang baharu untuk mengembangkan perniagaan.
“Walaupun pasaran minyak global kekal tidak menentu, Hengyuan akan terus menumpukan pada kecekapan operasi, kualiti produk, dan pengurusan kewangan yang berhati-hati.
“Kami kekal komited kepada sasaran untuk kembali mencatat keuntungan menjelang 2026,” katanya.
Pada 23 Oktober 2025, Hengyuan mengumumkan bahawa ia telah berjaya mengumpul hasil kasar RM234 juta, susulan langganan berlebihan bagi pelaksanaan hak memesan saham (rights issue).
Sebahagian besar hasil tersebut akan digunakan untuk membeli stok bahan mentah minyak tambahan, bahan asas utama bagi penapisan dan pengeluaran produk petroleum, untuk meningkatkan kecekapan pengeluaran, mengurangkan kos seunit per tong, dan mengukuhkan daya saing syarikat. - DagangNews.com








