HE Group diyakini kekal momentum kontrak baharu termasuk projek solar pada 2026 – Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

HE Group diyakini kekal momentum kontrak baharu termasuk projek solar pada 2026 – Maybank IB

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 21 Nov – HE Group diyakini mampu mengekalkan momentum kontrak baharu, termasuk projek solar pada suku pertama 2026 berikutan kejayaan menandatangani tiga kontrak EPC bernilai RM13.4 juta bagi fasiliti penjanaan tenaga solar di Johor, menurut Maybank Investment Bank.

 

Firma penyelidikan itu berkata, kontrak baharu itu akan meningkatkan baki buku pesanan syarikat kepada kira-kira RM103.7 juta dan melebihi sasaran FY25 sebanyak RM100 juta.

 

“Dua daripada kontrak ini dijangka siap pada Disember 2025, manakala kontrak ketiga dijangka siap pada Februari 2026.

 

“Dengan margin keuntungan bersih (PAT) dianggarkan 5%, ketiga-tiga projek ini dijangka menyumbang kira-kira RM0.7 juta sepanjang tempoh pelaksanaan,” kata firma tersebut dalam nota kajiannya.

 

Walaupun projek solar melebihi sasaran, Maybank IB menjangka HE Group tidak memperolehi sebarang kontrak baharu lain bagi baki tahun 2025 dan momentum kontrak baru dijangka meningkat pada suku pertama 2026.

 

“Segmen pusat data (DC) kekal menjadi fokus utama syarikat dengan HE Group kini sedang menunggu keputusan bidaan bagi projek-projek bernilai RM850 juta, di mana 80% daripadanya berkaitan pusat data dan baki 20% berkaitan projek semikonduktor.

 

“Projek berkaitan solar menandakan penyertaan pertama HE Group dalam sektor tenaga boleh diperbaharui selepas jangka masa yang panjang, namun pihak pengurusan difahamkan lebih berminat untuk terlibat dengan sistem penyimpanan tenaga bateri (BESS),” katanya.

 

Maybank IB mengekalkan unjuran pendapatan dan keuntungan FY25-27E bagi syarikat. Pendapatan FY25E dianggarkan RM135.4 juta, meningkat kepada RM160 juta pada FY26E dan RM200 juta pada FY27E.

 

Keuntungan bersih teras FY25E dianggarkan RM11.5 juta, FY26E RM14.1 juta, dan FY27E RM17.9 juta. 

 

EPS teras dianggarkan 2.6 sen pada FY25E, 3.2 sen pada FY26E, dan 4.1 sen pada FY27E.

 

HE Group kekal sebagai syarikat “net cash” tanpa sebarang hutang bersih, dengan margin EBITDA FY25E 10.7% dan FY26E 10.9%, menunjukkan kestabilan kewangan dan keupayaan pengurusan tunai yang baik. - DagangNews.com