Hasil Teo Seng naik 6% pada 3QFY2025 namun keuntungan terjejas selepas subsidi telur dihentikan | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hasil Teo Seng naik 6% pada 3QFY2025 namun keuntungan terjejas selepas subsidi telur dihentikan

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 19 Nov – Teo Seng Capital Berhad mencatat hasil sebanyak RM201.5 juta bagi suku ketiga tahun kewangan berakhir 30 September 2025 (3QFY2025) meningkat 6% berbanding RM190.3 juta pada tempoh yang sama tahun sebelumnya. 

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat pengeluar telur itu berkata, peningkatan tersebut disumbangkan terutamanya oleh kenaikan kuantiti jualan telur.

 

“Bagaimanapun, keuntungan sebelum cukai menurun 39.3% kepada RM32.5 juta berbanding RM53.5 juta tahun lalu, susulan pengurangan subsidi telur daripada kerajaan. 

 

“Bagi tempoh sembilan bulan berakhir 30 September 2025, Kumpulan mencatatkan hasil RM541.5 juta, merosot 4.2% berbanding RM565.4 juta tahun lalu, manakala keuntungan sebelum cukai berkurangan 9.6% kepada RM113.6 juta,” kata Teo Seng.

 

Segmen penternakan ayam mencatat hasil RM172.3 juta, meningkat 6.1% tetapi keuntungan sebelum cukai merosot 45.3% kepada RM27.5 juta kerana purata harga jualan telur yang lebih rendah dan subsidi telur yang berkurangan, walaupun sebahagiannya dapat diimbangi oleh kos makanan ternakan yang lebih rendah.

 

Teo Seng berkata, segmen pelaburan dan perdagangan produk berkaitan ayam pula mencatat hasil RM29.2 juta, naik 4.9% dengan keuntungan sebelum cukai meningkat 52.4 % kepada RM5 juta, didorong oleh permintaan yang lebih tinggi.

 

“Hasil Kumpulan pada 3Q2025 meningkat 17.6% kepada RM201.5 juta berbanding RM171.4 juta pada 2Q2025 berikutan peningkatan kuantiti jualan telur serta sumbangan yang lebih baik daripada segmen produk kesihatan haiwan. 

 

“Namun, keuntungan sebelum cukai merosot 28% daripada RM45.1 juta kepada RM32.5 juta disebabkan oleh subsidi kerajaan yang lebih tinggi diterima pada suku sebelumnya,” kata syarikat itu.

 

Kumpulan mengekalkan fokus pada penternakan lapisan dan pelaburan serta perdagangan produk berkaitan ayam. 

 

Keputusan kerajaan menghentikan subsidi telur sepenuhnya pada 1 Ogos 2025 menyebabkan Kumpulan berdepan cabaran dalam operasi, tetapi kos makanan ternakan yang stabil, permintaan pasaran yang mantap dan usaha meningkatkan kecekapan operasi dijangka dapat menyokong prestasi Kumpulan.

 

Lembaga Pengarah kekal optimis secara berhati-hati terhadap prestasi masa depan dan menegaskan komitmen untuk pertumbuhan mampan sambil memastikan pulangan yang menguntungkan kepada pihak berkepentingan. - DagangNews.com