KUALA LUMPUR 25 Nov – Kinergy Advancement Berhad (KAB) mencatatkan peningkatan hasil ketara sebanyak 90.8% kepada RM155.49 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY25) berbanding RM81.52 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, KAB berkata, peningkatan itu disokong pertumbuhan ketara dalam segmen Sustainable Energy Solutions (SES) yang terus menjadi pemacu utama prestasi kumpulan.
KAB berkata, prestasi kukuh itu turut meningkatkan jumlah pendapatan bagi sembilan bulan pertama FY2025 kepada RM321.79 juta, hampir dua kali ganda berbanding RM165.38 juta setahun lalu.
“Keuntungan bersih 3QFY25 meningkat 29.3% kepada RM7.9 juta berbanding RM6.11 juta pada tempoh sama sebelumnya manakala keuntungan bersih bagi 9MFY2025 bertambah kepada RM20.64 juta berbanding RM16.64 juta pada tempoh sama 2024.
“Segmen SES kekal sebagai tonggak pertumbuhan, menjana RM125.18 juta dalam 3QFY25, lebih tiga kali ganda daripada RM40.17 juta pada Q3FY24.
“Ini dipacu terutamanya oleh projek baharu SES 120MW di Labuan serta kemajuan kukuh projek tenaga sedia ada. Segmen itu turut mencatat keuntungan operasi RM10.55 juta,” kata syarikat dalam makluman tersebut.
Sementara itu, segmen kejuruteraan mencatat pendapatan RM30.14 juta, lebih rendah daripada tahun sebelumnya setelah siapnya beberapa projek legasi.
Namun, langkah pengurusan tender yang lebih strategik membantu mengekalkan margin dengan keuntungan operasi sebanyak RM1.5 juta.
Timbalan Pengerusi Eksekutif merangkap Pengarah Urusan Kumpulan, Lai Keng Onn berkata, KAB memasuki suku terakhir 2025 dengan kedudukan projek yang kukuh, memiliki buku pesanan berjumlah RM1.18 bilion terdiri daripada RM1.12 bilion projek SES dan RM62 juta dalam segmen kejuruteraan.
Beliau berkata, kumpulan itu turut mempunyai potensi kemenangan projek bernilai RM2.84 bilion, termasuk RM2.735 bilion dalam SES.
“Pencapaian ini membuktikan keberkesanan strategi KAB yang menumpukan pertumbuhan jangka panjang melalui portfolio tenaga mampan.
“Kemajuan projek yang stabil serta permulaan projek EPCC SES terbesar kami setakat ini akan menyumbang secara material kepada pertumbuhan mendatang.
“Dengan aliran tender yang kuat dan hala tuju strategik yang jelas, kami yakin memasuki suku terakhir tahun ini,” katanya dalam satu kenyataan.
Dengan rekod 27 projek SES dan kehadiran operasi di Malaysia, Thailand dan Indonesia, KAB menjangka permintaan tenaga bersih dan penyelesaian kecekapan tenaga akan terus meningkat di wilayah ini.
Kumpulan itu menegaskan komitmennya untuk memperluas jejak perniagaan tenaga mampan, di samping mengukuhkan asas pelanggan agar terus mencipta nilai jangka panjang kepada pemegang saham. - DagangNews.com








