KUALA LUMPUR 6 Jun — Hasil Duopharma Biotech Berhad diunjur terjejas dan boleh menyusut sehingga 10 peratus sekiranya kumpulan itu gagal memperoleh sebarang kontrak baharu daripada Kementerian Kesihatan (KKM), kata RHB Research.
Firma penyelidikan tersebut berkata, ramalan kemerosotan perolehan itu berdasarkan andaian rekod margin keuntungan kasar dicatatkan kumpulan berkenaan sebelum ini yang secara kelazimannya boleh menghampiri sebanyak 10 peratus.
Ia menambah, KKM pada 21 Mei 2025 sudah melanjutkan kontrak bekalan insulin selama tempoh enam bulan lagi kepada Duopharma yang berkuat kuasa dari 29 April sehingga 28 Oktober, sebelum pusingan baharu tender diberikan sekali lagi.
"Kontrak sedia ada untuk pembekalan dan pengedaran insulin sebenarnya tamat pada April 2025 dan pihak pengurusan kumpulan itu juga tahu mengenai pesaing baharu yang turut serta dalam tender," kata RHB Research dalam nota kajiannya.
Walaupun perkembangan lanjutan sedemikian kekal tidak berubah, firma itu menjangka potensi kesan pendapatan sebanyak lima peratus berdasarkan unjuran hasil FY26 dan sekiranya KKM memutuskan untuk membahagikan kontrak secara sama rata.
Dalam pada itu, ia turut menilai penggunaan kilang Duopharma di Glenmarie yang mencatatkan kadar agak rendah hanya sebanyak 24 peratus pada Disember 2024 berbanding secara purata 70 peratus di kemudahannya di Klang dan Bangi.
Bagaimanapun, pihak pengurusan menjangkakan kadar penggunaan bagi kilang berkenaan akan bertambah baik pada 2025, selepas kumpulan tersebut positif meramalkan mampu memperoleh lebih banyak tempahan baharu daripada pelbagai sektor awam.
RHB Research sehubungan itu mengekalkan saranan "beli" namun menaikkan harga sasaran kepada RM1.56 berbanding sebelum ini RM1.50 setelah berpuas hati dengan unjuran hasil yang stabil meningkat 12 peratus pada FY25. - DagangNews.com








