Hartalega fokus tingkatkan kecekapan operasi, waspada saingan pengeluar sarung tangan China - penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hartalega fokus tingkatkan kecekapan operasi, waspada saingan pengeluar sarung tangan China - penganalisis

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 16 Okt - Hartalega Holdings Berhad terus memberi tumpuan kepada kecekapan operasi dan kawalan kos bagi mendepani cabaran pengeluar sarung tangan China yang semakin agresif menembusi pasaran Asia Tenggara selain pasaran Amerika Syarikat (AS).

 

Maybank Investment Bank berkata, walaupun pasaran sarung tangan global masih berdepan isu lebihan bekalan dan tekanan harga, kumpulan itu kekal berdisiplin dalam menguruskan kos dan mempertingkatkan produktiviti bagi mengekalkan margin keuntungan.

 

"Kecekapan operasi dan pengurusan kos yang rapi menjadi tunjang kepada keupayaan Hartalega mengekalkan daya saing dalam keadaan pasar yang mencabar," katanya dalam satu nota kajian.

 

Firma penyelidikan itu berkata, bagi meningkatkan produktiviti, Hartalega menutup sementara dua kilang bagi menjalankan kerja-kerja peningkatan automasi yang menurunkan kapasiti pengeluaran sebanyak 35% kepada 24 bilion keping.

 

Katanya, langkah itu bagaimanapun berjaya meningkatkan kadar penggunaan kapasiti kepada 100% berbanding 67% pada suku pertama tahun kewangan 2026 (1QFY26).

 

Selain itu, syarikat turut melaksanakan beberapa inisiatif penjimatan kos, termasuk penyusunan semula tenaga kerja, kawalan sisa pengeluaran yang lebih ketat serta strategi pembelian bahan mentah yang lebih efisyen.

 

Usaha ini, bersama-sama dengan penurunan tarif elektrik dan kos bahan mentah, membantu menyerap kesan kenaikan gaji dalam suasana harga jualan global yang masih perlahan.

 

Maybank IB berkata, kapasiti pengeluaran aktif industri kini dianggarkan sekitar 500 hingga 550 bilion keping setahun, jauh melebihi permintaan global yang hanya sekitar 370 bilion keping pada 2024, menyebabkan harga kekal berpaksikan kuasa pembeli.

 

Sumber industri memaklumkan, sebuah pengeluar utama dari China kini sedang menyiapkan kilang baharu di Indonesia, yang dijangka mula beroperasi antara Disember 2025 hingga Januari 2026 – tertumpu kepada pasaran AS.

 

“Tempoh enam bulan akan datang amat kritikal kepada strategi harga Hartalega untuk mengekalkan bahagian pasaran dalam persekitaran kompetitif ini,” jelas laporan tersebut.

 

Dalam usaha mengukuhkan kedudukan jangka panjang, Maybank IB berkata, Hartalega sedang meneroka peluang penggabungan dan pengambilalihan (M&A) dalam sektor penjagaan kesihatan, termasuk pengedaran produk guna habis perubatan.

 

Katanya, syarikat juga terus memperkukuh jenama sendiri, Gloveon, yang kini membekalkan 70% hospital swasta di Malaysia dan mendominasi segmen penjagaan kesihatan awam di Australia.

 

Bagaimanapun, Hartalega lebih mengutamakan pertumbuhan organik melalui inovasi dan peningkatan teknologi, berbanding mengambil alih kilang sarung tangan sedia ada.

 

Sementara itu, firma penyelidikan itu berkata, walaupun prospek sarung tangan masih mencabar dengan lebihan kapasiti dan tekanan harga, strategi Hartalega yang menumpukan kecekapan kos, automasi dan pengurusan operasi yang cekap dijangka membantu syarikat mengekalkan daya saing jangka sederhana.

 

"Kami menaikkan penarafan kepada "pegang" daripada "jual" dengan harga sasaran (TP) RM1.35 sesaham," katanya.- DagangNews.com