Hanifah mohon perintah injunksi terhadap Lembaga Pengarah NexG berhubung EGM 3 April | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Hanifah mohon perintah injunksi terhadap Lembaga Pengarah NexG berhubung EGM 3 April

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 11 Mac - Pengerusi Eksekutif dan Ketua Pegawai Eksekutif NexG Bhd, Datuk Abu Hanifah Noordin memohon perintah injunksi terhadap lembaga pengarah syarikat itu berikutan keputusan dan tindakan yang diambil sebelum Mesyuarat Agung Luar Biasa (EGM) yang dijadualkan pada 3 April.

 

Hanifah bersama pemegang saham Siti Nur Aishah Ishak menamakan NexG dan tujuh pengarahnya sebagai defendan, termasuk Syed Farid Syed Ahmad Al-Attas, Kunal Tayal, Aswath Ramakrishnan, Mohd Zafil Ibrahim, Mohamed Fairuz Mohamed Fauzy dan Badrul Hisham Abdul Aziz.

 

Menurut ppemakluman NexG di Bursa Malaysia tersebut, tindakan undang-undang bertarikh 9 Mac itu diserahkan kepada syarikat tersebut pada 10 Mac.

 

DagangNews difahamkan, Lembaga Pengarah akan mengadakan mesyuarat khas hari ini bagi membincangkan tindakan mahkamah oleh Hanifah itu.


 

Datuk Abu Hanifah Noordin
Datuk Abu Hanifah Noordin


Tindakan yang Dihalang Melalui Injunksi

Hanifah dan Siti Nur Aishah memohon mahkamah menghalang defendan daripada:

  • Melantik pengarah tambahan atau membuat sebarang perubahan kepada komposisi lembaga pengarah NexG.

  • Mengubah pengurusan syarikat atau anak syarikatnya, termasuk jawatan, peranan, kuasa atau tanggungjawab pengarah sedia ada.

  • Mengeluarkan atau memperuntukkan saham, termasuk melalui penempatan persendirian, atau menukar sekuriti sehingga boleh menjejaskan kuasa undi pemegang saham dan keputusan EGM.

  • Melakukan pelaburan besar, perbelanjaan modal, pelupusan aset, pengambilalihan atau keputusan strategik lain bagi pihak syarikat sebelum EGM.

  • Mengambil sebarang tindakan yang boleh menggagalkan niat plaintif dan pemegang saham sehaluan untuk menyingkir dan melantik pengarah baharu pada mesyuarat itu.

 

Cabaran Terhadap Resolusi Lembaga Pengarah

Selain itu, plaintif memohon sekatan terhadap pelaksanaan resolusi khas lembaga pengarah pada 5 Mac, termasuk:

  • Penggantungan kuasa eksekutif Abu Hanifah sebagai pengerusi, pengarah dan ketua pegawai eksekutif selama 14 hari.

  • Pelantikan seorang pengarah untuk mempengerusikan mesyuarat lembaga dan mesyuarat agung.

  • Pembatalan penamatan perkhidmatan dua penasihat korporat.

  • Pelantikan setiausaha syarikat bersama luaran serta penglibatan penasihat undang-undang bagi menyemak kesahihan notis EGM.

 

Syarikat Sedang Menilai Langkah Undang-Undang

NexG berkata dalam pemfailan Bursa Malaysia bahawa liabiliti yang berpotensi daripada saman ini pada peringkat ini terhad kepada kos guaman.

 

Syarikat menambah tiada kesan kewangan atau operasi material yang dijangka, selain daripada perbelanjaan guaman, dan sedang mendapatkan nasihat undang-undang sebelum membuat sebarang tindakan lanjut.

 

Sekiranya terdapat perkembangan penting, NexG akan mengumumkannya kepada pelabur dan pihak berkepentingan. - DagangNews.com