Gold Peak labur RM670 juta di bawah inisiatif pelaburan pantas Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gold Peak labur RM670 juta di bawah inisiatif pelaburan pantas Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura

KUALA LUMPUR 19 Feb - United Overseas Bank (UOB) Singapura melancarkan inisiatif Green Lane bersama Invest Johor bagi mempercepatkan pelaburan ke dalam Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ).

 

Ia adalah hasil daripada Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani pada persidangan ASEAN 2024, bertujuan menyelaraskan proses kelulusan bagi pelabur berimpak tinggi. 

 

Invest Johor berfungsi sebagai pusat sehenti Johor untuk pelabur, mempromosi dan memudahkan pelaburan merentasi pelbagai industri.

 

 

Ia bertujuan meletakkan Johor sebagai hab serantau bagi industri berteknologi tinggi, berasaskan pengetahuan dan berintensif modal.

 

UOB akan menjalankan penilaian prakelayakan untuk pelanggannya yang memohon kelulusan Super Lane Johor, dengan ketara mengurangkan masa pemprosesan.

 

Bank itu juga memperkenalkan perkhidmatan pembukaan akaun Fast Lane untuk pelabur Singapura yang berkembang ke JS-SEZ dan menubuhkan meja JS-SEZ khusus di Johor dan Singapura untuk sokongan kemasukan ke dalam pasaran.

 

Penerima pertama Green Lane, Gold Peak Technology Group yang tersenarai di Hong Kong, bersedia untuk melabur RM670 juta (AS$150 juta) bagi mewujudkan kemudahan pembuatan dan R&D termaju di JS-SEZ.

 

Pengarah Eksekutif dan Pengarah Urusan Gold Peak Technology Group, Michael Lam menyampaikan Surat Niat (LOI) kepada Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Invest Johor, Natazha Hariss pada acara misi perniagaan yang dihadiri Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi.

 

Michael juga menyatakan keyakinan terhadap potensi JS-SEZ sebagai hab pembuatan serantau.

 

"Dengan sokongan UOB dan Invest Johor, kemudahan baharu kami akan memacu inovasi dalam teknologi bateri, mengukuhkan komitmen untuk memperkasakan masa depan yang lebih hijau," katanya.

 

Onn Hafiz memuji inisiatif itu sebagai satu kejayaan dalam mengukuhkan perdagangan dan pelaburan rentas sempadan, sejajar dengan wawasan Johor Maju Johor 2030.

 

"Pelaburan Gold Peak akan membawa pembuatan termaju, pekerjaan berkualiti tinggi, dan pertumbuhan ekonomi yang mampan ke Johor, mengukuhkan kedudukan JS-SEZ sebagai hab pelaburan utama," katanya.

 

Kemudahan Gold Peak yang akan datang memberi tumpuan kepada teknologi bateri generasi akan datang, memainkan peranan penting dalam ruusan penyimpanan tenaga mampan, terutamanya untuk pusat data di Asia Tenggara. Pelaburan itu dijangka menjana 150 hingga 180 pekerjaan baharu, memupuk bakat dan inovasi tempatan.

 

Ketua Pegawai Eksekutif UOB Malaysia, Ng Wei Wei menekankan komitmen bank untuk memacu pelaburan strategik.

 

"Sejak MoU kami dengan Invest Johor, kami tmemberi komitmen penuh bagi membawa masuk pelaburan dan memperkemas kelulusan.

 

"LOI daripada Gold Peak mencerminkan keyakinan pelabur yang semakin meningkat dalam JS-SEZ," katanya.

 

Kerjasama antara UOB, Invest Johor dan pelabur utama dijangka mempercepatkan transformasi JS-SEZ menjadi zon ekonomi terkemuka, menarik pelaburan bernilai tinggi dan mampan. - DagangNews.com