Geohan sasar kumpul RM72.6 juta melalui IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Geohan sasar kumpul RM72.6 juta melalui IPO di Pasaran Utama Bursa Malaysia

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Nov – Geohan Corporation Berhad melancarkan prospektus tawaran awam permulaan (IPO) di Pasaran Utama Bursa Malaysia Securities Berhad dengan sasaran mengumpul sehingga RM72.60 juta.

 

IPO tersebut melibatkan terbitan 132 juta saham baharu pada harga RM0.55 sesaham, mewakili 30 % daripada modal saham diperbesar sebanyak 440 juta unit. 

 

Daripada jumlah dana RM72.60 juta, sebanyak 55.1% akan digunakan bagi membesarkan oeprasi perniagaan syarikat termasuk pembelian 17 mesin baharu. 

 

Selain itu, 35.26% diperuntukkan bagi modal kerja dan 9.64% lagi bagi menampung perbelanjaan penyenaraian. Harga IPO RM0.55 sesaham itu meletakkan nilai pasaran Geohan pada sekitar RM242 juta semasa penyenaraiannya.

 

Pengarah Urusan Geohan, Lee Kim Seng berkata, syarikat sentiasa fokus ke hadapan dan komited untuk mempercepat pertumbuhan serta inovasi.

 

Beliau berkata pembelian lebih banyak mesin diperlukan bagi membolehkan syarikat memperoleh lebih banyak projek, terutamanya bagi mengukuhkan kehadiran di Malaysia dan Singapura. 

 

“Mesin membos jenama Bauer dari Jerman dikekalkan pada purata usia enam tahun untuk memastikan prestasi optimum.

 

“Penyenaraian di Pasaran Utama akan mengukuhkan reputasi dan kredibiliti syarikat, sekali gus meningkatkan keupayaan Geohan bersaing mendapatkan kontrak baharu,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Pengalaman 30 tahun dalam industri membantu syarikat melalui pelbagai cabaran ekonomi dan muncul lebih kukuh.

 

Syarikat itu dijadual disenaraikan di Pasaran Utama pada 5 Disember 2025.

 

Geohan, melalui anak syarikatnya, menyediakan perkhidmatan asas dan geoteknikal serta perkhidmatan berkaitan bagi pelbagai projek pembinaan merangkumi kediaman, komersial, industri, pembangunan bercampur dan infrastruktur. 

 

Operasi syarikat turut disokong oleh depoh Bukit Beruntung yang menempatkan pelbagai jentera serta kemudahan penyelenggaraan dalaman.

 

Setakat 22 Oktober 2025, Geohan mempunyai buku pesanan berjumlah RM390.39 juta, yang dijangka menyediakan jaminan hasil untuk sekurang-kurangnya dua tahun kewangan akan datang. 

 

Antara projek yang sedang dijalankan termasuk Ativo Annexe di Kuala Lumpur; Causewayz Square @ JBCC dan Astaka Arden Residence di Johor; Veridian Residence di Selangor; Blossom Suites di Pulau Pinang; ParkCity Tower di Kuala Lumpur; serta projek kereta kabel Bukit Bendera di Pulau Pinang.

 

Permohonan bagi tawaran awam bermula hari ini dan akan ditutup pada 5.00 petang, 21 November 2025.

 

Alliance Islamic Bank Berhad bertindak sebagai Penasihat Utama, Penaja Jamin Tunggal dan Ejen Penempatan bagi IPO ini. - DagangNews.com