GEA kumpul 1,000 tan minyak masak terpakai daripada peniaga bazar Ramadan Ipoh | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GEA kumpul 1,000 tan minyak masak terpakai daripada peniaga bazar Ramadan Ipoh

Petugas GEA mengumpul minyak masak untuk dikitar semula sebagai sumber biodiesel.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 28 Mac - Sebanyak 1,000 tan minyak masak terpakai berjaya dikumpul daripada peniaga bazar Ramadan kendalian Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) sebagai inisiatif kitaran ekonomi.

 

Ia melibatkan pembayaran sebanyak RM3,000 kepada lebih 300 peniaga.

 

Kerjasama antara Green Energy Asia Biofuel Resources (Green Energy Asia) dengan MBI ini bagi mengitar semula minyak masak terpakai sebagai sumber biofuel dan biodiesel.

 

Ketua Pembangunan Perniagaan GEA, Muhammad Aswad Abdul Rashid berkata, angka kutipan itu adalah sepanjang 25 hari bermula 2 Mac lalu melibatkan 8 bazar Ramadan.

 

Perak
Muhammad Aswad (kiri) menerima minyak masak terpakai daripada peniaga.

 

Menurut beliau, inisiatif ini bukan sahaja membantu mengurangkan pencemaran alam sekitar, tetapi juga menyediakan sumber tenaga yang lebih bersih.

 

“Kerjasama GEA dengan MBI memang ada cuma ini kali pertama kita laksanakan pengumpulan minyak masak terpakai secara terus di bazar Ramadan terpilih.

 

“Dengan cara ini peniaga dapat terus menjual minyak masak terpakai kepada petugas GEA mengikut jadual yang ditetapkan,” ujarnya kepada DagangNews.

 

Pengendalian bazar Ramadan MBI pada tahun ini adalah berkonsepkan mesra alam dengan melakukan aktiviti ekonomi kitaran termasuk kutipan minyak masak terpakai daripada peniaga.

 

Perak

 

Dalam pada itu kata Muhammad Aswad, orang ramai boleh menyemak jadual kutipan minyak masak terpakai secara mingguan menerusi laman sosial Facebook syarikat tersebut.

 

“Kita mengumpul minyak masak terpakai setiap Isnin hingga Sabtu di beberapa kawasan sekitar Ipoh seperti Medan Ipoh, Bercham, Taman Canning, Tasek, Klebang dan lain-lain. 

 

“Selain itu, terdapat juga pusat kutipan di pasar serta kawasan komersial bagi memudahkan penyertaan orang ramai,” ujarnya.

 

Manfaat program ini dapat mengelakkan pencemaran dan membantu mewujudkan persekitaran yang lebih lestari. - DagangNews.com