Ge-Shen catat lonjakan hasil RM109.48 juta bagi 3QFY2025 disokong prestasi Local Assembly | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Ge-Shen catat lonjakan hasil RM109.48 juta bagi 3QFY2025 disokong prestasi Local Assembly

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – Ge-Shen Corp Bhd mencatatkan lonjakan hasil 61% kepada RM109.48 juta suku ketiga tahun kewangan 2025 (3QFY2025) berbanding RM67.86 juta tempoh yang sama tahun lalu.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, syarikat itu berkata, peningkatan tersebut disokong oleh permintaan pelanggan yang lebih tinggi, penambahbaikan operasi dan inisiatif kejuruteraan yang menambah nilai kepada projek pelanggan, khususnya pemindahan produk baharu.

 

“Untung bersih Ge-Shen juga mencatat kenaikan 70% kepada RM5.32 juta daripada RM3.14 juta sebelum ini,” katanya.

 

Lonjakan itu disokong oleh prestasi syarikat perkhidmatan pembuatan elektronik yang dimiliki 40% iaitu Local Assembly Sdn Bhd, kawalan kos serta penambahbaikan pengeluaran berasaskan data.

 

Ge-Shen berkata, ia merancang untuk meningkatkan pegangan dalam Local Assembly kepada 80% menjelang suku pertama 2026 bagi mengukuhkan kawalan dan integrasi operasi.

 

"Syarikat juga berhasrat mengukuhkan rantaian nilai dengan menguruskan keseluruhan proses produk, dari reka bentuk dan pembuatan acuan sehingga pemasangan dan pembungkusan.

 

“Selain itu, Ge-Shen merancang untuk mengembangkan keupayaan pembuatan berteknologi tinggi dalam komponen perubatan dan penyambung ketepatan, memperluas capaian serantau melalui pengembangan kilang di Vietnam, serta memacu automasi dan operasi bagi mengekalkan peningkatan kecekapan,” katanya.

 

Bagi sembilan bulan pertama tahun kewangan 2025 (9MFY2025), keuntungan bersih syarikat meningkat 66% kepada RM17.67 juta daripada RM10.68 juta pada tempoh sama tahun sebelumnya, manakala hasil jualan naik hampir 20% kepada RM259.77 juta daripada RM216.84 juta.

 

Tiada dividen diumumkan bagi suku ketiga, namun syarikat menyasarkan nisbah pembayaran dividen sebanyak 40% daripada untung bersih tahunan, tertakluk kepada keperluan modal kerja, penyelenggaraan dan perbelanjaan modal.

 

Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Ge-Shen, Dr Adrian Foong Hong Nian berkata, keputusan suku ketiga mencerminkan kekuatan perjalanan transformasi berterusan syarikat yang tertumpu kepada kecemerlangan operasi, pengurusan kos berhemah dan pelaksanaan berorientasikan pelanggan.

 

“Fokus kami adalah untuk mengembangkan segmen pelanggan bernilai tinggi khususnya dalam bidang pembuatan elektronik, peranti perubatan, komponen industri dan aplikasi berketepatan tinggi di Malaysia dan Vietnam,” katanya. - DagangNews.com