GCAP jalin kerjasama strategik dengan firma China bangunkan tenaga angin di Malaysia | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

GCAP jalin kerjasama strategik dengan firma China bangunkan tenaga angin di Malaysia

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 11 NovG Capital Berhad hari ini mengumumkan pemeteraian Perjanjian Perkongsian Strategik dengan Fujian Tongyuan Green Energy Technology Co Ltd dari China bagi membangunkan projek tenaga angin dan penyelesaian tenaga boleh baharu (RE) di Malaysia, seiring aspirasi negara mencapai neutral karbon menjelang 2040.

 


Di bawah perjanjian itu, kedua-dua pihak akan meneroka peluang dalam pembangunan tenaga angin, penyimpanan tenaga, infrastruktur pengecasan kenderaan elektrik (EV) serta latihan berkaitan tenaga boleh baharu.

 


Menurut GCAP, syarikat itu akan mengetuai aspek pembangunan projek, kelulusan tempatan serta penyelarasan dengan agensi kerajaan, manakala Tongyuan akan menyediakan kepakaran teknologi, reka bentuk sistem dan bekalan peralatan tenaga angin teragih (distributed wind systems) yang digunakan secara meluas di China dan Eropah.

 


“Kerjasama dengan Tongyuan mencerminkan aspirasi kami untuk menyokong peralihan tenaga Malaysia melangkaui tanah besar. Elektrifikasi pulau adalah antara cabaran terbesar dalam pelaksanaan tenaga boleh baharu, dan gabungan sistem angin teragih Tongyuan dengan kepakaran pembangunan GCAP mampu memberi impak segera dan praktikal,” kata Pengerusi Eksekutif GCAP, Datuk Seri Affendi Buang, dalam satu kenyataan hari ini.

 


Katanya, inisiatif ini turut melengkapi program Pulau Tenaga Hijau (Smart Green Island) yang digerakkan oleh Tenaga Nasional Berhad (TNB) bagi menjadikan Pulau Redang, Pulau Tioman dan Pulau Perhentian sebagai ekosistem tenaga bersih dan cekap melalui penggunaan teknologi tenaga boleh baharu serta rendah karbon.

 


“Usaha ini membuktikan bagaimana kerjasama awam-swasta dan pemindahan teknologi rentas sempadan dapat mempercepatkan perjalanan Malaysia menuju sasaran sifar bersih,” katanya.

 


Tongyuan, yang memiliki pengalaman lebih 700 pemasangan turbin angin menegak berskala kecil di Denmark, menggunakan teknologi diperakui IEC yang mampu beroperasi dalam keadaan angin rendah serta disepadukan bersama sistem fotovolta (PV) solar dan penyimpanan tenaga bagi menjamin bekalan tenaga bersih 24 jam.

 


Kerjasama ini menandakan kemasukan pertama GCAP ke dalam sektor tenaga angin, sekaligus melengkapkan portfolio tenaga boleh baharunya yang sedia ada dalam solar dan hidro.

 


Menurut GCAP, perjanjian tersebut turut menyokong pelaksanaan Belanjawan 2026, yang memperuntukkan RM3 bilion bagi memperluas infrastruktur tenaga boleh baharu, menaik taraf grid nasional, dan menggalakkan pelaburan swasta dalam sektor hijau.

 


Langkah strategik ini juga selaras dengan Rangka Tindakan Peralihan Tenaga Negara (NETR) dan hasrat kerajaan untuk mencapai 70% kapasiti tenaga boleh baharu menjelang 2050.

 


“Kami percaya kolaborasi ini akan membuka ruang baharu kepada pembangunan tenaga angin di Malaysia dan menjadikan GCAP sebagai peneraju pembangunan tenaga pelbagai sumber di rantau ini,” katanya lagi. - DagangNews.com