Gamuda kekal sasaran jualan RM6 bilion pada FY25 dipacu pelancaran projek baharu, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Gamuda kekal sasaran jualan RM6 bilion pada FY25 dipacu pelancaran projek baharu, kata penganalisis

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 27 Mac - Gamuda Berhad mampu mengekalkan sasaran jualan sehingga mencecah sebanyak RM6 bilion bagi tahun kewangan 2025 (FY25) dengan jangkaan pecutan momentum pada separuh kedua (2HFY25), menurut MIDF Research.
 

Firma penyelidikan itu berkata, perkembangan tersebut disokong faktor pelancaran beberapa projek baharu dengan keseluruhannya dianggarkan berjumlah lebih RM12 bilion dan penukaran tempahan yang lebih kukuh.
 

Beberapa tawaran hartanah katanya, sedang dalam perancangan, yang berpotensi menjana pulangan sehingga RM8 bilion di Vietnam dan RM4 bilion di Malaysia dari segi nilai pembangunan kasar (GDV) menjelang akhir 2025.
 

"Perniagaan hartanah Gamuda diunjur dapat mencatatkan hasil sebanyak RM1.06 bilion, meningkat kira-kira 11.2 peratus tahun-ke-tahun (yoy) pada suku kedua 2025 (2QFY25)," kata MIDF dalam satu nota kajiannya.
 

Keadaan tersebut kata firma berkenaan, menyaksikan peningkatan dalam untung kasar syarikat hartanah itu yang dijangka bertambah hanya sebanyak 3.9 peratus yoy kepada nilai RM106.8 juta. 
 

Situasi itu dipengaruhi oleh peralihan daripada penyiapan pembangunan Celadon City di Vietnam kepada projek pemulihan pantas (QTP) yang baru dilancarkan Gamuda, dan perkembangan masih dalam peringkat awal.
 

MIDF terus mengekalkan saranan "beli" walaupun mengurangkan anggaran pendapatan syarikat itu untuk FY25 sebanyak 9.0 peratus kepada RM1.18 bilion berikutan prestasi pembinaan yang lemah sedikit pada 1HFY25.
 

"Kami juga mengekalkan anggaran FY26F dan harga sasaran (TP) RM5.42 sesaham, serta perolehan setiap saham (EPS) kumpulan sebanyak 25.8 sen selain harga-nisbah-pendapatan (PER) jangka panjang naik 21 kali," katanya.
 

Sementara itu, Maybank Investment Bank dalam nota kajian turut menyarankan "beli" berdasarkan prospek pertumbuhan pendapatan disokong oleh rekod prestasi penghantaran kukuh dan capaian geografi syarikat.
 

Firma penyelidikan itu berkata, Gamuda juga ada buku pesanan tertunggak sebanyak RM36 bilion pada akhir Januari 2025 dengan segmen kejuruteraan dan pembinaan sudah menerima setakat ini sejumlah projek.
 

Antaranya sebanyak RM7.8 bilion di Malaysia termasuk sebuah pusat data kerja di Cyberjaya, LRT Pulau Pinang dan hidroelektrik Ulu Padas, selain RM3.5 bilion lagi di Australia dan RM3.2 bilion di Taiwan. 

 

"Projek-projek di Malaysia sahaja sudah membentuk sebanyak 39 peratus daripada tunggakan tersebut diikuti Australia (34 peratus), Taiwan (20 peratus) dan Singapura (7 peratus)," katanya.


Maybank IB berdasarkan tinjauannya, meletakkan TP untuk Gamuda sebanyak RM4.95 sesaham, susut lima sen namun menyukai syarikat itu kerana prospek pertumbuhan pendapatan kukuh. - DagangNews.com