KUALA LUMPUR 20 Mac — Gagasan Nadi Cergas Berhad memperoleh jualan en-bloc rumah mampu milik berjumlah 523 unit yang sedang dibangunkan di City of Elmina untuk skim khas Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS).
Syarikat pembinaan dan pembangunan hartanah itu berkata, surat tawaran daripada LPHS diterima anak syarikatnya, Nadi Emery Sdn Bhd, untuk perolehan unit tersebut dengan pertimbangan pembelian sebanyak RM134.4 juta.
Selepas projek pembangunan itu selesai katanya, LPHS akan memanfaatkan unit rumah ini untuk disewakan pula kepada penduduk yang berpendapatan B40 dan M40 di negeri tersebut, di bawah Skim Smart Sewa kerajaan Selangor.
"Kami akan memulakan pembinaan semua unit perumahan tersebut, yang terletak dalam kawasan Elmina 5, pada suku ketiga 2025 untuk inisiatif Rumah Idaman negeri berkenaan," kata Gagasan Nadi Cergas dalam satu kenyataan.
Di bawah skim itu, individu B40 dan M40 boleh menyewa rumah selama dua hingga lima tahun, dengan 30 peratus daripada sewa dipulangkan pada akhir kontrak untuk membantu membiayai deposit bagi pembelian unit tersebut.
Pengarah Urusan Kumpulan syarikat itu, Datuk Wan Azman Wan Kamal berkata, usaha baharu dengan kerjasama LPHS, dibina berdasarkan kepada penerimaan pasaran yang kukuh bagi projek rumah mampu milik yang dibangunkan mereka.
"Projek ini juga akan mengukuhkan lagi rekod prestasi kami dalam memperluaskan pemilikan rumah untuk dimiliki penduduk B40 dan M40 yang menetap di Greater Kuala Lumpur," katanya dalam kenyataan syarikat berkenaan.
Beliau berkata, dengan memanfaatkan kepakaran luas dalam perumahan mampu milik dan model perniagaan bersepadu, syarikat itu berada kedudukan baik untuk memenuhi permintaan yang semakin meningkat untuk rumah berkualiti tinggi mampu milik.
Pembangunan kawasan ini juga kata Wan Azman, menyokong kemajuan sosial dan ekonomi yang mampan serta mengukuhkan kedudukan Gagasan Nadi Cergas sebagai pemain utama dalam sektor perumahan mampu milik di Malaysia.
Semua unit rumah tersebut menurut kenyataan itu, akan mempunyai ruang binaan seluas 1,000 kaki persegi dengan sejumlah tiga bilik tidur, serta kawasan berkenaan dilengkapi pelbagai kemudahan rekreasi dan prasarana awam.
Projek itu, yang dijadualkan siap pada 2028, akan menjadi usaha kedua kumpulan syarikat tersebut di perbandaran Elmina selepas memulakan projek perumahan mampu milik sebanyak 1,000 unit dikenali Idaman Amani di Elmina 4.
Rumah-rumah itu akan menjadi tambahan penting kepada City of Elmina, sebuah perbandaran mega yang komprehensif di Shah Alam, yang menampilkan zon kediaman, komersial dan perindustrian yang luas.
Secara keseluruhannya, segmen pembangunan hartanah kumpulan itu sedang membangunkan 7,500 rumah mampu milik di Elmina, Kwasa Damansara, dan Bukit Jelutong, dengan jumlah nilai pembangunan kasar RM1.9 bilion. - DagangNews.com








