KUALA LUMPUR 13 Julai – Vinvest Capital Holdings Berhad berdepan risiko penggantungan dagangan saham dan penyahsenaraian daripada Bursa Malaysia Securities Berhad selepas gagal memenuhi keperluan untuk melantik penaja dalam tempoh ditetapkan.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Vinvest berkata pihaknya menerima Notis Tunjuk Sebab berkaitan permulaan prosedur penggantungan dan penyahsenaraian sekuritinya pada 10 Julai 2026.
Notis tersebut dikeluarkan oleh Bursa Securities berdasarkan Peraturan 8.03A(3)(b) dibaca bersama Peraturan 8.04(3)(a)(ii) Keperluan Penyenaraian Pasaran ACE Bursa Malaysia (ACE LR).
Bursa Securities mendapati Vinvest gagal mengambil tindakan pemulihan selepas syarikat itu tidak melantik penaja dalam tempoh tiga bulan daripada tarikh pengumuman pertama iaitu pada 8 April 2026.
Tempoh tiga bulan berkenaan berakhir pada 8 Julai 2026, namun Vinvest gagal melantik penaja seperti ditetapkan selain tidak mengemukakan sebarang permohonan lanjutan masa bagi tujuan tersebut.
Dalam konteks Pasaran ACE, penaja merupakan penasihat profesional yang membantu syarikat memastikan pematuhan terhadap keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, termasuk aspek tadbir urus, kewajipan pendedahan maklumat serta urusan berkaitan pematuhan peraturan.
Susulan kegagalan itu, Bursa Securities memberi peluang kepada Vinvest untuk mengemukakan representasi bertulis bersama dokumen sokongan, jika ada, dalam tempoh lima hari pasaran daripada tarikh notis tersebut iaitu pada atau sebelum 17 Julai 2026.
Vinvest perlu menjelaskan kepada Bursa Securities mengapa penggantungan dagangan sekuritinya tidak sepatutnya dikenakan serta alasan mengapa sekuritinya tidak wajar dinyahsenarai daripada Senarai Rasmi Bursa Malaysia.
Menurut Vinvest, syarikat akan membuat pengumuman lanjut kepada Bursa Securities sekiranya terdapat sebarang perkembangan atau kemas kini berkaitan perkara berkenaan. - DagangNews.com








