KUALA LUMPUR 17 Feb — Persekutuan Pengilang Malaysia (FMM) dan Persekutuan Majikan Malaysia (MEF) mempertimbangkan banyak risiko dan peluang yang timbul ekoran trend penutupan kilang yang semakin buruk di Thailand.
Situasi berkenaan turut meletakkan sektor pembuatan di negara ini berada di bawah penelitian yang lebih tinggi dengan Malaysia boleh dianggap kekal terdedah kepada pelbagai risiko dan memerlukan pemantauan proaktif.
Presiden FMM, Tan Sri Soh Thian Lai mengakui cabaran yang dihadapi sektor pembuatan Malaysia tetapi menekankan kedudukan negara ini yang berbeza berbanding Thailand yang mengalami kelembapan ekonomi dan peningkatan kos operasi.
"Tidak ketinggalan ialah isu gangguan rantaian bekalan global yang menyebabkan antara kebimbangan penting," katanya sambil memetik laporan banyak kilang di Thailand dijangka ditutup tahun ini berbanding dua tahun lalu.
Akhbar Bangkok Post melaporkan baru-baru ini dengan memetik Pusat Penyelidikan Kasikorn (K-Research) yang mendedahkan mengenai sektor pembuatan yang semakin lemah dan beberapa cabaran ekonomi berterusan di negara tersebut.
Menurut badan pemikir itu, kadar penutupan adalah lebih tinggi dengan 100 buah setiap bulan direkodkan tahun lepas buat tahun kedua berturut-turut serta paling tinggi adalah perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) kerana isu modal terhad.
Secara purata, modal berdaftar syarikat yang menutup kilang pada 2024 adalah 3.8 kali lebih rendah berbanding 2023 dengan jumlah modal berdaftar syarikat itu tahun lepas ialah 47.8 bilion baht, turun daripada lebih 180 bilion baht pada 2023.
Presiden MEF, Datuk Dr Syed Hussain Syed Husman pula berkata, isu di Thailand timbul ekoran ketidaktentuan ekonomi global, khususnya tarif yang dikenakan oleh Amerika Syarikat (AS), serta penurunan permintaan untuk eksport utama.
"Ini melibatkan produk elektronik dan semikonduktor yang boleh menjejaskan pengeluaran dan kemampanan," katanya sambil menambah bahawa kenaikan tarif tenaga, inflasi dan peningkatan kos bahan mentah menimbulkan cabaran serius kepada PMKS.
Walaupun menghadapi cabaran ujar RHB Research, sektor pembuatan Malaysia pula bersedia untuk pertumbuhan sepanjang 2025, didorong oleh faktor industri berorientasikan eksport yang berdaya tahan dan aktiviti pelaburan adalah teguh.
Keadaan di Malaysia adalah baik di tengah-tengah kebimbangan terhadap peningkatan perlindungan perdagangan mungkin menimbulkan cabaran namun firma itu baru-baru ini berkata Indeks Pengeluaran Perindustrian negara meningkat.
Pada Disember lalu, ia merekodkan pertambahan sebanyak 4.6 peratus tahun ke tahun (YoY) meskipun turun sedikit di bawah anggaran dalaman sebanyak 4.8 peratus. Sektor pembuatan Malaysia menunjukkan arah aliran positif pada Disember.
Jualan direkodkan berkembang sebanyak 5.7 peratus YoY, meningkat daripada 4.5 peratus pada November dengan pertumbuhan didorong oleh peningkatan output dalam subsektor E&E, petroleum, makanan, minuman dan tembakau.
Selain itu, pengeluaran sektor pembuatan negara berkembang sebanyak 5.8 peratus YoY, diterajui oleh pertumbuhan positif dalam produk E&E, produk mineral bukan logam, logam asas dan produk logam acuan, serta makanan, minuman dan tembakau.
Kedua-dua individu berkenaan namun menekankan kepentingan memantau petunjuk utama untuk mengelak potensi kemerosotan dengan Thian Lai menumpukan output perindustrian, prestasi eksport dan pelaburan langsung asing sebagai metrik kritikal.
"Pengurangan dalam bidang ini, terutama sektor seperti elektronik dan automotif, boleh menandakan cabaran yang muncul."
Syed Hussain pula memberi amaran kemungkinan peningkatan pengangguran di kawasan perindustrian dan peningkatan kebankrapan dalam kalangan firma pembuatan dengan menyatakan bahawa tinjauan seperti Indeks Pengurus Pembelian memberikan amaran awal tentang penurunan keyakinan dan pengurangan pengeluaran.
Untuk memastikan daya tahan, FMM memberi tumpuan kepada memacu transformasi digital dan inovasi dalam kalangan ahli-ahlinya.
"Mengguna pakai teknologi Industri 4.0 seperti automasi dan kecerdasan buatan adalah penting untuk meningkatkan kecekapan operasi," kata Thian Lai.
FMM juga menyokong kepelbagaian ke dalam industri bernilai tinggi seperti teknologi hijau dan bioteknologi manakala MEF lebih memberi tumpuan kepada usaha pembangunan tenaga kerja dan inisiatif kemampanan.
"Peningkatan kemahiran dan kemahiran semula pekerja dalam teknologi baharu dan automasi adalah kritikal," kata Syed Hussain, yang turut menekankan kepentingan pematuhan terhadap piawaian alam sekitar, sosial dan tadbir urus.
Kedua-dua pemimpin itu menekankan peranan penting kerjasama kerajaan dengan Soh menyeru campur tangan dasar, seperti insentif cukai dan peningkatan infrastruktur.
Syed Hussain juga menyokong langkah pembaharuan kawal selia dan meningkatkan pembiayaan untuk penyelidikan dan pembangunan.
Mereka malah bersetuju bahawa Malaysia berada pada kedudukan yang baik untuk menarik operasi pembuatan yang berpindah dari negara lain.
"Lokasi strategik Malaysia dan akses kepada perjanjian perdagangan seperti Perjanjian Komprehensif dan Progresif untuk Perkongsian Trans-Pasifik yang boleh meningkatkan daya tarikannya," kata Thian Lai.
Syed Hussain berkata negara telah membangunkan pangkalan pembuatan yang mantap dan memperkenalkan insentif seperti pelepasan cukai dan zon ekonomi khas.
"Tumpuan Malaysia pada pembuatan berteknologi tinggi dan mampan sejajar dengan trend global, menjadikannya amat menarik kepada pengendali dalam sektor ini," tambahnya. - DagangNews.com








