Fiamma catat keuntungan bersih RM9.8 juta pada 3QFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fiamma catat keuntungan bersih RM9.8 juta pada 3QFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 20 Nov – Fiamma Holdings Berhad mencatatkan hasil sebanyak RM87.61 juta pada suku ketiga berakhir 30 September 2025 (3QFY2025), menyusust sedikit berbanding RM97.74 pada suku yang sama tahun lalu.

 

Namun, keuntungan bersih pada suku tersebut melonjak kepada RM9.8 juta, lebih dua kali ganda berbanding RM4.3 juta pada suku sama tahun 2024.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Fiamma berkata,  peningkatan ini disokong terutamanya oleh keuntungan berkaitan pelaburan serta prestasi stabil dalam segmen teras Perdagangan & Perkhidmatan dan sumbangan daripada projek rakan sekutu hartanah.

 

“Bagi tempoh 9MFY25, Fiamma mencatat hasil RM268.97 juta, sedikit menurun berbanding RM283.77 juta tahun sebelumnya, ekoran permintaan pengguna yang lebih perlahan.

 

“Segmen Perdagangan & Perkhidmatan kekal sebagai penyumbang utama dengan 85% daripada jumlah hasil, manakala segmen Pembangunan Hartanah menyumbang 13.6% hasil Kumpulan. 

 

“Sumbangan daripada projek rakan sekutu dijangka terus menyokong kestabilan keuntungan Kumpulan,” kata Fiamma dalam makluman tersebut.

 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Jimmy Tan Chee Wee berkata, walaupun hasil keseluruhan lebih perlahan, Kumpulan mencatat prestasi kukuh berikutan pelaksanaan yang berdisiplin dalam semua divisyen.

 

Beliau berkata, segmen Perdagangan & Perkhidmatan terus menjana pendapatan berulang yang stabil manakala sumbangan projek rakan sekutu hartanah semakin kukuh.

 

“Kami kekal berhati-hati susulan ketidakpastian ekonomi global, namun fokus kepada peningkatan kecekapan operasi dan pengembangan terpilih dalam kategori teras diteruskan. 

 

“Strategi kami tetap konsisten, membina asas pendapatan yang pelbagai dan mantap, disokong oleh perkakas rumah, penjagaan kesihatan dan hartanah,” katanya. - DagangNews.com