FBM KLCI hampiri 1,710 mata tetapi pelabur asing tinggalkan pasaran – Apa sebenarnya berlaku? | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

FBM KLCI hampiri 1,710 mata tetapi pelabur asing tinggalkan pasaran – Apa sebenarnya berlaku?

Oleh JOHARDY IBRAHIM

KUALA LUMPUR 29 Dis - Pasaran ekuiti Malaysia dilihat `kekal kurang diminati' pelabur asing sepanjang 2025, dengan aliran keluar bersih asing mencatat tahap ketiga tertinggi dalam tempoh 15 tahun, menurut Phillip Capital.

 

Malaysia merekodkan aliran keluar bersih ekuiti asing terkumpul sebanyak AS$4.8 bilion (RM19.43 bilion) dalam 11 bulan pertama 2025, menjadikannya aliran keluar tahunan ketiga terbesar sejak 2010.

 

Hanya dua tahun mencatatkan aliran keluar lebih tinggi, iaitu AS$5.8 bilion (RM23.48 bilion) semasa kejutan pandemik COVID-19 pada 2020 dan AS$5.1 bilion (RM20.64 bilion) pada 2015, menurut laporan Malaysia Strategy 2026 Outlook oleh Phillip Capital

 

Firma penyelidikan itu berkata, fenomena ini bukanlah satu kejadian terpencil, memandangkan Malaysia telah mengalami aliran keluar bersih asing dalam sembilan daripada 11 tahun lepas.

 

“Aliran keluar modal yang berterusan telah menurunkan pegangan asing kepada 19% pada November 2025, paras terendah dalam sejarah.

 

“Kami melihat ini sebagai petunjuk relevansi Malaysia yang semakin merosot di kalangan pelabur global, memandangkan beratnya yang sederhana, sekitar 1%, dalam indeks MSCI Emerging Markets, berbanding daya tarikan lebih tinggi pasaran Asia lain yang menawarkan pendedahan kepada tema pertumbuhan struktur,” kata Phillip Capital.

 

Pasaran ekuiti Malaysia kekal tertumpu pada sektor “ekonomi lama”, dengan representasi terhad dalam ruang kecerdasan buatan (AI), sekali gus mengurangkan daya tarikan dalam persekitaran pelaburan berasaskan tema yang semakin dominan.

 

Prospek 2026 lebih positif

Bagaimanapun, Phillip Capital menjangkakan 2026 menjadi tahun yang lebih menguntungkan bagi ekuiti Malaysia, disokong faktor luaran seperti ketegangan perdagangan global yang semakin reda dan dasar monetari global yang lebih akomodatif.

 

Di peringkat domestik, ringgit yang kukuh, penilaian pasaran yang menarik, dan sokongan berterusan daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) terhadap saham berwajaran tinggi dijangka meningkatkan nisbah risiko-pulangan dan memperkukuh kecairan pasaran menjelang pilihan raya umum.

 

Phillip Capital mengekalkan sasaran FBM KLCI pada 1,710 mata menjelang akhir 2026 dan mengekalkan pandangan Neutral ke atas pasaran keseluruhan.

 

Indeks penanda aras ditutup pada 1,678.31 mata pada malam Krismas, iaitu paras tertinggi hampir 16 bulan, dan ditutup sedikit rendah pada 1,677.10 hari ini, naik 2.1% setakat tahun ini.

 

Enam tema pelaburan utama 2026

Prestasi pasaran domestik pada 2026 dijangka disokong oleh beberapa tema pelaburan utama:

  1. Aliran masuk pelaburan langsung asing (FDI) yang meningkat hasil pengalihan perdagangan

  2. Kitaran pelaburan yang positif

  3. Pengembangan pusat data

  4. Peralihan tenaga hijau

  5. Kitaran teknologi kecerdasan buatan (AI)

  6. Tahun Melawat Malaysia 2026

 

“Kebanyakan tema ini selari dengan agenda dasar jangka panjang kerajaan, menyediakan pelan pelaburan berbilang tahun dengan keterlihatan tinggi. Antaranya, pertumbuhan pusat data dan peralihan tenaga dilihat sebagai pemacu utama memasuki 2026,” katanya.

 

Pandangan Phillip Capital ini menyarankan penarafan Overweight dalam sektor Perbankan, Pembinaan, EMS, Perindustrian dan Tenaga Boleh Baharu, manakala sektor Kesihatan, Minyak & Gas serta Pengangkutan kekal menarik kerana keterlihatan pendapatan yang kukuh.

 

Pilihan saham utama Phillip Capital

Bagi saham bermodal besar, pilihan utama termasuk CIMB, Frontken, Gamuda, IHH Healthcare, Telekom Malaysia dan SD Guthrie.

 

Bagi syarikat kecil, pilihan utama adalah Critical Holdings, MN Holdings, BM Greentech, Solarvest, Binastra, Uzma, Dayang Enterprise, Bumi Armada, RGB International dan AGX- DagangNews.com