Farmiera raih RM29.25 juta pada penampilan sulung di Pasaran ACE | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Farmiera raih RM29.25 juta pada penampilan sulung di Pasaran ACE

Oleh HAZIQ HAKIMI

KUALA LUMPUR 12 Nov – Syarikat ternakan ayam tempatan, Farmiera Bhd, mencatatkan prestasi stabil pada hari pertama dagangan di Pasaran ACE Bursa Malaysia apabila sahamnya dibuka pada 25 sen sesaham, iaitu paras yang sama dengan harga tawaran awam permulaan (IPO) sebanyak 25 sen.

 

Sebanyak 12.14 juta saham diniagakan pada pembukaan, mencerminkan minat pelabur yang positif terhadap prospek jangka panjang syarikat itu dalam industri ayam pedaging tempatan yang semakin berkembang.

 

Melalui IPO berkenaan, Farmiera berjaya mengumpul dana berjumlah RM29.25 juta daripada terbitan awam baharu yang mewakili 26% daripada modal diperbesar syarikat.

 

Tawaran awam runcitnya mencatatkan sambutan luar biasa apabila terlebih langgan hampir 17 kali oleh pelabur individu, sekali gus menunjukkan keyakinan terhadap asas perniagaan syarikat.

 

Pada harga pembukaan tersebut, Farmiera dianggarkan bernilai RM112.5 juta, meletakkannya sebagai antara syarikat ternakan ayam bersaiz sederhana dalam pasaran tempatan.

 

Diasaskan pada tahun 2013 dan berpangkalan di Klang, Selangor, Farmiera terlibat dalam pengeluaran ayam pedaging dan pemprosesan ayam mentah halal.

 

Pelanggan utamanya termasuk pengedar ternakan, peniaga serta rangkaian pasar raya besar, pasar raya dan penyedia perkhidmatan makanan di seluruh negara.

 

Syarikat kini mengendalikan 15 ladang ayam pedaging milik sendiri serta 44 ladang kontrak di Selangor, Negeri Sembilan, Perak, Pahang dan Melaka.

 

Selain itu, Farmiera juga mengoperasikan dua kilang pemprosesan ayam yang diperakui halal masing-masing di Ipoh, Perak dan Lukut, Negeri Sembilan. - DagangNews.com