Fajarbaru meningkatkan pegangan dalam firma hartanah Australia, Beulah Northcote kepada 49 peratus | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Fajarbaru meningkatkan pegangan dalam firma hartanah Australia, Beulah Northcote kepada 49 peratus

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 12 Feb - Unit Fajarbaru Builder Group Bhd (FBG) iaitu FBG Land Sdn Bhd (FLSB), telah meningkatkan pegangan sahamnya dalam firma pemaju hartanah Australia, Beulah Northcote Land Pty Ltd (BNL) kepada 49 peratus.
 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, FBG mengumumkan bahawa langkah terbaharu itu menyaksikan FLSB melanggan tambahan 2.56 juta saham biasa yang belum dimilikinya dalam BNL pada harga AU$2.56 juta (kira-kira RM7.14 juta).
 

"Langganan dicadangkan untuk dipenuhi sepenuhnya secara tunai, adalah sebahagian strategi FLSB mengekalkan kawalan bersama dalam BNL dan menyokong keperluan modal kerja bagi projek pembangunan hartanah yang sedang berjalan," katanya.
 

BNL, yang diperbadankan di Victoria, Australia pada Oktober 2017 lalu, terlibat aktif dalam pembangunan hartanah di negara berkenaan serta mempunyai modal terbitan dan berbayar sebanyak AU$6.1 juta (kira-kira RM17.14 juta).
 

FBG menyatakan bahawa langganan tidak akan menjejaskan modal saham kumpulan atau struktur pegangan saham, malah dijangka sejajar dengan strategi pelaburan FLSB dan menyumbang kepada pertumbuhan jangka panjang kumpulan.


Langganan itu dianggap sebagai transaksi pihak berkaitan di bawah keperluan penyenaraian Bursa Malaysia, kerana Pengarah BNL, Chan Jia Heng, adalah anak kepada Pengerusi Eksekutif Kumpulan FBG, Tan Sri Chan Kong Choy.
 

"Bagaimanapun, tiada pengarah lain, pemegang saham utama, atau orang yang berkaitan dengan mereka mempunyai sebarang kepentingan secara langsung atau tidak langsung dalam urus niaga tersebut," kata syarikat berkenaan.
 

Langganan tambahan itu bahkan tidak memerlukan kelulusan pemegang saham. Langkah ini susulan urus niaga FLSB sebelum ini pada Oktober 2024 melupuskan 44.44 peratus kepentingan ekuiti dalam BFB Project Pty Ltd sebanyak AU$4.2 juta (kira-kira RM11.8 juta). - DagangNews.com