Faizal dilantik sebagai CEO Brahim's Food Services berikutan peletakan jawatan Fadli | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Faizal dilantik sebagai CEO Brahim's Food Services berikutan peletakan jawatan Fadli

Faizal Rosli Datuk Abdullah
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 19 Mac - Brahim's Holdings Bhd, melantik Faizal Rosli Datuk Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) baharu untuk unit katering dalam penerbangan, Brahim's Food Services Sdn Bhd (BFS), berkuat kuasa pada 17 Mac 2025.

 

Menurut syarikat, Faizal akan memimpin BFS ke era baharu inovasi, kecemerlangan perkhidmatan dan daya saing global, bagi memastikan kejayaan berterusan sebagai penyedia katering dalam penerbangan halal terkemuka.

 

"Sejak menyertai Brahim's pada tahun 2004, beliau telah memainkan peranan penting dalam menguruskan akaun syarikat penerbangan utama seperti Emirates, Qatar Airways, Cathay Pacific dan banyak lagi, mengoptimumkan operasi dan memacu pertumbuhan perniagaan.

 

"Peranan beliau sebelum ini sebagai Timbalan CEO dan Ketua Pegawai Operasi telah memperkukuhkan lagi kedudukan pasaran syarikat," kata syarikat itu dalam satu kenyataan.

 

Faizal mempunyai pengalaman 37 tahun dalam industri kulinari, termasuk 20 tahun dalam katering penerbangan.

 

Pelantikannya dibuat berikutan peletakan jawatan CEO kumpulan Brahim's, Mohd Fadhli Abdul Rahman, yang turut mengawasi operasi BFS.

 

Mohd Fadhli meletakkan jawatan selepas tujuh tahun bersama syarikat, berkuat kuasa pada 13 Mac 2025.

 

Beliau pada mulanya menyertai Brahim's pada November 2017 sebagai Ketua Pegawai Kewangan (CFO) sebelum dinaikkan pangkat menjadi CEO kumpulan. - DagangNews.com