Exsim, MABA bekerjasama bangunkan semula Wisma Maba menjadi projek apartmen servis bernilai RM800 juta | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Exsim, MABA bekerjasama bangunkan semula Wisma Maba menjadi projek apartmen servis bernilai RM800 juta

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 1 Dis – Exsim Development Sdn Bhd dan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) memulakan kerja pembinaan bagi projek pembangunan semula Wisma Maba yang dinamakan Maba Suitez, iaitu satu perumahan apartmen di Jalan Hang Jebat, Kuala Lumpur.

 

Projek pembangunan semula di atas tapak seluas 1.328 ekar itu akan didirikan apartmen servis setinggi 60 tingkat merangkumi dua menara, dengan nilai pembangunan kasar berjumlah RM800 juta. 

 

Secara keseluruhan, ia akan menawarkan kira-kira 1,300 unit terdiri daripada apartmen servis berkeluasan antara 484 hingga 657 kaki persegi serta unit pejabat berkeluasan bermula 323 kaki persegi. 

 

Harga jualan dianggarkan sekitar RM1,800 hingga RM2,200 untuk satu kaki persegi.

 

Presiden MABA, Datuk Seri Lee Tian Hock, yang juga pengasas dan Timbalan Pengerusi Eksekutif Kumpulan Matrix Concepts Holdings Bhd berkata, harga jualan masih dalam semakan dan dijangka dimuktamadkan pada Mac tahun depan. 

 

Beliau berkata, projek tersebut disasarkan siap pada tahun 2031.

 

“Ibu pejabat baharu MABA berkeluasan 3,000 kaki persegi itu akan dilengkapi separuh gelanggang bola keranjang. 

 

“MABA akan menerima RM170 juta daripada pembangunan semula tapak itu, dengan RM120 juta daripadanya akan digunakan untuk membeli unit apartmen servis di Maba Suitez. 

 

“Unit-unit tersebut akan disewakan sebagai sumber pendapatan jangka panjang dan berdasarkan kadar hasil sewaan pasaran semasa sekitar 5% MABA menjangka memperoleh pendapatan hampir RM6 juta setahun,” katanya dalam satu kenyataan.

 

Projek pembangunan semula tapak Wisma Maba itu dilaksanakan berikutan terdapat beberapa masalah struktur yang serius selepas lebih lima dekad ia digunakan.

 

Stadium milik persatuan itu turut berdepan isu lain seperti bumbung bocor dan sistem penyejukan yang semakin teruk. 

 

Selain itu, beliau berkata, pembangunan baharu itu penting bagi memastikan persatuan membina asas kewangan dan kemudahan yang lebih mampan untuk masa depan.

 

Maba Suitez akan terletak bertentangan dengan kawasan Merdeka 118 dan berada dalam jarak berjalan kaki ke stesen MRT Merdeka serta LRT Plaza Rakyat, memberikan akses rangkaian pengangkutan awam yang strategik kepada bakal pembeli dan penyewa.  - DagangNews.com