Eksport Malaysia kukuh, lebihan dagangan cecah RM19.86 bilion pada September - MITI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eksport Malaysia kukuh, lebihan dagangan cecah RM19.86 bilion pada September - MITI

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Momentum perdagangan Malaysia kekal kukuh pada September dengan jumlah perdagangan meningkat sebanyak 9.8% tahun ke tahun kepada RM257.51 bilion, menurut Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI).

 

Pertumbuhan itu menunjukkan tanda pemulihan positif selepas mencatatkan penyusutan pada bulan sebelumnya, meskipun berdepan ketidaktentuan perdagangan global ketika ini.

 

MITI berkata, eksport negara meneruskan aliran peningkatannya untuk bulan ketiga berturut-turut apabila melonjak 12.2% kepada RM138.68 bilion, sekali gus mencatatkan nilai eksport kedua tertinggi tahun ini. 

 

“Import pula meningkat 7.3% kepada RM118.82 bilion, menjadikan lebihan dagangan berjumlah RM19.86 bilion.

 

“Ini merupakan lebihan dagangan selama 65 bulan berturut-turut sejak Mei 2020 dengan pertumbuhan eksport direkodkan merentasi semua sektor utama,” kata MITI dalam satu kenyataan.

 

Kementerian itu berkata, pengembangan sektor pembuatan diterajui oleh produk elektrik dan elektronik (E&E) yang merekodkan nilai tertinggi dengan peningkatan hampir RM11 bilion.

 

“Penyumbang utama lain termasuk jentera, peralatan dan alat ganti serta peralatan optik dan saintifik.

 

“Sektor perlombongan pula pulih selepas 13 bulan mengalami penyusutan, didorong oleh peningkatan eksport bijih logam dan sekerap logam. 

 

“Sementara itu, sektor pertanian mencatatkan peningkatan tertinggi didorong eksport minyak sawit dan produk berasaskan sawit,” kata MITI.

 

Malaysia turut merekodkan peningkatan eksport ke rakan dagangan utama iaitu ASEAN, China, Amerika Syarikat, Taiwan dan Kesatuan Eropah.

 

t

 

Eksport juga terus berkembang ke negara rakan Perjanjian Perdagangan Bebas (FTA) dengan peningkatan ketara ke Mexico, India, Australia, New Zealand, Turkiye, United Kingdom, Pakistan dan Kanada.

 

Bagi tempoh Januari hingga September, Malaysia mencatatkan nilai kumulatif perdagangan, eksport dan import tertinggi setakat ini. 

 

MITI berkata, perdagangan meningkat 4.4% kepada RM2.235 trilion, eksport naik 4.8% kepada RM1.170 trilion manakala import bertambah 4% kepada RM1.064 trilion. 

 

“Ini menghasilkan lebihan dagangan sebanyak RM105.65 bilion,” kata Kementerian itu.

 

Sementara itu, Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) telah menaikkan unjuran pertumbuhan volum perdagangan barangan global bagi 2025 kepada 2.4% berbanding 0.9% pada April lalu. 

 

Pelarasan ini dipacu oleh peningkatan perbelanjaan terhadap produk berkaitan kecerdasan buatan (AI), peningkatan import Amerika Utara sebelum pelaksanaan tarif baharu serta aktiviti perdagangan yang lebih rancak di rantau lain.

 

Selaras dengan trend global ini, Bank Dunia turut menaikkan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia bagi 2025 kepada 4.1%  daripada 3.9% sebelum ini, mencerminkan permintaan domestik yang stabil dan prestasi luaran yang lebih kukuh daripada jangkaan, khususnya dalam sektor E&E.

 

Laporan Economic Outlook 2026 menjangkakan perdagangan Malaysia akan berkembang sebanyak 3.9% pada 2025, dengan eksport dijangka meningkat 3.3% dan import pula naik 4.6%

 

Namun, MITI memberi amaran kemungkinan ketegangan perdagangan berterusan serta kemungkinan langkah tarif baharu antara ekonomi utama dunia kekal sebagai cabaran utama. 

 

“Ketidaktentuan ini boleh menyebabkan gangguan rantaian bekalan, peningkatan kos kepada pengeksport serta ketidaktentuan dalam persekitaran perdagangan domestik.

 

“Pengeksport Malaysia perlu mempelbagaikan pasaran, mengukuhkan daya tahan rantaian bekalan dan sentiasa peka terhadap perkembangan dasar perdagangan. 

 

“Dengan sokongan dan panduan daripada MITI dan Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade), pengeksport boleh mengurus risiko ini dengan lebih baik dan merebut peluang baharu dalam pasaran global,” katanya.

 

Kementerian turut menggalakkan pengeksport untuk memanfaatkan sepenuhnya 18 perjanjian perdagangan bebas (FTA) yang dimiliki Malaysia dengan pelbagai negara dan ekonomi. - DagangNews.com