Eco World diyakini lepasi sasaran RM3.5 bilion dipacu jualan tanah untuk pusat data - CGSI | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Eco World diyakini lepasi sasaran RM3.5 bilion dipacu jualan tanah untuk pusat data - CGSI

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 1 Julai — Pihak pengurusan Eco World Development Group Berhad optimis mampu melepasi sasaran jualan pada FY25 ditetapkan sebanyak RM3.5 bilion, menurut CGS International (CGSI).


Firma penyelidikan tersebut berkata, keyakinan itu disuarakan mereka sendiri ketika sesi taklimat meskipun angka berkenaan secara perbandingan adalah kemerosotan 14 peratus tahun ke tahun (yoy). 


Ia menambah, potensi positif itu berdasarkan prestasi jualan pada tempoh 7MFY25 yang merekodkan sebanyak RM2.99 bilion iaitu bersamaan dengan 85 peratus daripada sasaran kumpulan tersebut.


"Kejayaan berkenaan dirangsang oleh penyelesaian dua jualan tanah kepada pemain pusat data yang sudah pun mencecah jumlah RM920 juta pada Februari 2025," kata CGSI dalam satu nota kajiannya.


Selain itu tambah firma tersebut, dalam tempoh tujuh bulan berkenaan juga kediaman bertanah dan bertingkat kekal sebagai penyumbang segmen terbesar iaitu 46 peratus daripada keseluruhan jualan.


Ini katanya, diikuti oleh beberapa projek kawasan perindustrian di seluruh negara yang dikenal pasti menyumbang sebanyak 40 peratus, manakala baki 14 peratus lagi melibatkan segmen komersial.


Eco World kata CGSI, bersedia untuk mengukuhkan lagi kedudukan pada FY26 dengan pelancaran dua perbandaran baharu serta taman perindustrian antaranya Eco Botanic 3, Eco Radiance dan EBP VII.


"Kesemuanya itu merekodkan gabungan nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM11.4 bilion dan kami menjangkakan hasil kumpulan ini terus meningkat daripada 2HFY25 sehingga FY27," tambahnya lagi.


Perkembangan positif tersebut disokong beberapa projek komersial di kawasan perbandaran sedia ada selain pangsapuri servis di Eco Ardence dan Eco Botanic serta tiga jualan tanah untuk pusat data.


Berdasarkan situasi berkenaan, CGSI masih lagi mengekalkan saranan 'tambah' ke atas Eco World dengan harga sasaran juga tidak berubah kepada RM2.58 sesaham. - DagangNews.com