KUALA LUMPUR 18 Feb - Avangaad Berhad yang sebelum ini dikenali sebagai E.A. Technique (M) Berhad, secara rasmi memperkenalkan identiti korporat baharu dengan nama, logo dan laman web yang dilancarkan semula, menandakan langkah berani dalam penjenamaan semula syarikat.
Dengan kelulusan daripada pemegang saham yang diperoleh pada 13 Februari 2025, pelancaran itu selari dengan permohonan syarikat kepada Bursa Securities untuk penarikan balik status PN17 pada 14 Februari 2025.
Pencapaian tersebut dibuat ketika Avangaad mencatatkan keuntungan buat suku ke-10 berturut-turut, mengukuhkan ketahanan kewangan dan komitmen terhadap pertumbuhan jangka panjang yang berterusan serta kepimpinan industri dalam sektor maritim.
Avangaad mendefinisikan semula kecemerlangan syarikat, meningkatkan prestasi operasi, memperluas peluang pertumbuhan dan memperkukuhkan kepimpinan strategikna dalam sektor marin dan luar pesisir.
Nama Avangaad merupakan gabungan perkataan 'Avante' yang bermaksud bergerak ke hadapan dan 'Vanguard' yang mewakili kepimpinan, kekuatan dan kecemerlangan perintis.
Identiti berkenaan menggambarkan pemikiran yang sentiasa bergerak maju, ketahanan dan cita-cita syarikat untuk menetapkan penanda aras baharu dalam industri.
Pengarah Eksekutif Avangaad, Datuk Mubarak Hussain Akhtar Husin berkata, penjenamaan semula itu melambangkan dinamik dan visi ke hadapan yang mendefinisikan Avangaad hari ini.
"Ia menandakan peralihan kami menuju daya cipta yang lebih besar, pertumbuhan yang bertanggungjawab dan nilai yang memetingkan pemegang saham," katanya dalam satu kenyataan.
Avangaad turut melancarkan laman web korporat yang diperbaharui, direka untuk meningkatkan hubungan dengan pelabur, rakan perniagaan dan pihak berkepentingan.
Platform digital yang dipertingkatkan itu menyediakan kemas kini kewangan masa nyata, jelajah yang lancar dan kandungan dinamik yang mempamerkan kemampuan syarikat, inisiatif kelestarian dan pandangan pasaran.
Mubarak berkata, laman web korporat baharu yang berfokuskan marin, direka untuk meningkatkan ketelusan dan aksesibiliti bagi pihak berkepentingan.
"Selain menyediakan platform yang bermaklumat, kami mahu memberikan pemahaman yang jelas mengenai visi kami, perkembangan strategik dan kemajuan yang sedang berjalan," ujarnya.
Tambah beliau, penjenamaan semula kali ini mengukuhkan kesiapsiagaan Avangaad untuk era pertumbuhan lestari baharu, selepas setahun penstrukturan kewangan, peluasan strategik dan keuntungan rekod.
"Dengan buku pesanan yang kukuh dan strategi yang jelas untuk peluasan, syarikat ini berada dalam kedudukan yang baik untuk mengukuhkan kelebihan daya saing dalam industri maritim," jelasnya.
Beliau berkata, peralihan itu menandakan permulaan bab baharu yang menarik dalam industri maritim.
"Kami bersedia untuk merangkul peluang baharu. Identiti ini akan membawa kami ke puncak yang lebih tinggi dan mencipta legasi pertumbuhan, inovasi dan nilai untuk semua pihak berkepentingan kami," katanya. - DagangNews.com








