KUALA LUMPUR 16 Okt – Duopharma Biotech Berhad terus memperkukuh kedudukannya sebagai peneraju industri farmaseutikal halal apabila menerima kunjungan kira-kira 30 delegasi daripada Standards and Metrology Institute for Islamic Countries (SMIIC) ke kilang pengeluarannya di Klang, baru-baru ini.
Lawatan teknikal itu dianjurkan oleh Jabatan Standard Malaysia (DSM) sempena Minggu Jawatankuasa Teknikal SMIIC ke-14 yang berlangsung di Kuala Lumpur untuk melihat amalan terbaik industri farmaseutikal halal Malaysia kepada negara anggota Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC).
SMIIC adalah sebuah institut di bawah OIC yang berperanan mewujudkan keseragaman dalam akreditasi bagi memudahkan perdagangan serta menyokong pertumbuhan ekonomi mampan, kebajikan pengguna dan inovasi dalam kalangan negara anggota.
Ketika lawatan tersebut, delegasi yang terdiri daripada pakar teknikal SMIIC menerima taklimat mengenai amalan terbaik industri farmaseutikal halal Malaysia yang dikendalikan oleh Jabatan Halal dan Hubungan Kerajaan Duopharma Biotech.
Kilang tersebut sudah memiliki pengiktirafan Amalan Perkilangan Baik (GMP) yang menggunakan teknologi farmaseutikal maju dan canggih.
Kilang itu menghasilkan pelbagai produk farmaseutikal halal termasuk tablet, kapsul, sirap, krim antibiotik oral, larutan untuk hemodialisis dan pengairan steril, suntikan, kartrij pergigian serta titisan mata untuk pasaran tempatan dan eksport.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Duopharma Biotech, Wan Amir-Jeffery Wan Abdul Majid berkata, syarikat berbesar hati dapat menunjukkan keupayaan kilang mereka kepada delegasi SMIIC sekali gus menunjukkan bagaimana prinsip “Halal Built-In, Not Tested For” diamalkan secara menyeluruh.
“Sebagai peneraju global dalam sektor farmaseutikal halal, Duopharma Biotech bekerjasama rapat dengan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), DSM dan Halal Development Corporation (HDC) bagi memperluaskan capaian pasaran antarabangsa.
“Dengan unjuran sektor farmaseutikal halal bakal mencecah nilai AS$5.9 bilion menjelang 2030, kami menyasarkan untuk menyediakan produk halal yang selamat, berkesan dan berkualiti tinggi bagi memperluas pilihan rawatan kepada pesakit,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Tambahnya, kepentingan untuk memperluaskan farmaseutikal halal memerlukan usaha pendidikan berterusan kerana masih ramai yang baru memahami nilainya.
“Dengan ekosistem halal Malaysia yang sudah lama berkembang dan rekod pencapaian yang terbukti, kami yakin mampu memainkan peranan penting dalam menyelaras piawaian halal global,” katanya.
Sementara itu, Pegawai Bantuan Teknikal SMIIC, Dr Mohammed Ali Alsheikh berkata, lawatan itu memberi peluang kepada pihaknya melihat sendiri bagaimana industri farmaseutikal di Malaysia melaksanakan amalan halal dengan kerjasama erat antara syarikat dan agensi pengawal selia.
Beliau berkata, SMIIC turut berminat melihat bagaimana Duopharma Biotech menggantikan bahan terlarang serta memperkenalkan kaedah jaminan kualiti baharu bagi memastikan setiap ramuan dan proses pembuatan memenuhi keperluan halal.
“Proses penghasilan ubat di kilang Duopharma melibatkan teknologi digital seperti rantaian blok, IoT dan AI yang digunakan pada setiap peringkat pengeluaran dan logistik.
“Kami berharap pendekatan ini dapat diperluas ke lebih banyak negara anggota SMIIC,” katanya.
Sebagai peneraju global dalam pengeluaran farmaseutikal halal, Duopharma Biotech telah memulakan usaha integrasi halal dengan keperluan GMP sejak 1998.
Kilang pengeluarannya mematuhi piawaian MS 2424:2019 bagi farmaseutikal halal dan piawaian OIC SMIIC 50-1.
Syarikat itu memperoleh pensijilan halal daripada JAKIM pada 1999 bagi jenama penjagaan kesihatan pengguna seperti Champs, Flavettes, Proviton dan Naturalle sebelum menjadi pengeluar pertama yang menerima pensijilan halal untuk ubat preskripsi pada 2017, produk rawatan kanser pada 2022 dan rawatan anemia berkaitan kegagalan buah pinggang kronik pada 2025.
Selain itu, sejak 2016 syarikat menganjurkan Simposium Farmaseutikal Halal yang menghimpunkan pakar antarabangsa, pemimpin industri serta agensi piawaian dan kawal selia bagi mengembangkan integrasi farmaseutikal halal dalam sistem penjagaan kesihatan global. - DagangNews.com








