Duopharma dijangka catat pendapatan positif pada FY25 - CGSI Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Duopharma dijangka catat pendapatan positif pada FY25 - CGSI Research

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 26 Mac - Duopharma Biotech Berhad dijangka terus merekodkan pertumbuhan pendapatan positif pada tahun kewangan 2025 (FY25), menurut CGS International (CGSI) Research.
 

Firma penyelidikan itu berkata, hasil kumpulan itu pernah mencecah paras terendah pada FY23 sebelum meningkat semula pada FY24, dan ia mengunjurkan syarikat tersebut mampu mencatat pertumbuhan pendapatan baik seterusnya.
 

Kadar pertumbuhan tahunan terkompaun untuk tiga tahun dianggarkan mampu mencecah sebanyak 19.4 peratus dari FY24 hingga FY27 didorong antaranya factor ringgit yang lebih kukuh berbanding dolar Amerika Syarikat (AS).
 

“Kami jangka pertumbuhan pada FY25 dipacu oleh sumbangan setahun penuh daripada kontrak senarai pembelian produk diluluskan yang diperoleh pada April 2024,  serta harga rendah untuk antara muka pengaturcaraan aplikasi," katanya dalam satu nota kajian.
 

Ia bagaimanapun turut membuat pelarasan kecil kepada andaian hasil, susut nilai dan perbelanjaan faedah yang menyaksikan ramalan perolehan setiap saham teras FY25 dan FY26 turun sebanyak 1.1 peratus dan 0.2 peratus.
 

CGSI Research menambah, FY25 akan menjadi tahun penting kepada Duopharma bagi merancang masa depan syarikat.
 

Dengan kebanyakan produk kini beralih daripada kemudahan K1 kepada K3 baharu, kumpulan berhasrat memperluaskan lagi proses pembuatan dalam fasilitinya untuk menampung pertumbuhan permintaan daripada ruang penjagaan kesihatan awam.
 

Selain itu, firma penyelidikan tersebut juga menilai dan memuktamadkan rancangan Duopharma untuk membina keupayaan pembuatan selanjutnya dalam kemudahan K2 dan K5 diusahakannya.
 

“Pelan ini dilakukan dengan hasrat untuk membawa masuk produk yang membolehkan Duopharma memperoleh pengetahuan dalam pembangunan serta pembuatan biologi, dan kami fikir boleh membuka jalan kepada pertumbuhan jangka panjang lebih kukuh,” katanya.
 

Memandangkan rancangan ini diperkukuh pada 2025, dengan kebanyakan pelaburan perbelanjaan modal akan datang pada 2026 dan seterusnya, CGSI mengekalkan nisbah pembayaran dividen syarikat pada 38 peratus antara FY25 hingga FY27, memberikan hasil sebanyak 3 peratus.
 

Bagaimananapun firma penyelidikan itu berkata, ia tidak mengambil kira kenaikan pendapatan daripada rancangan Duopharma ini dalam ramalannya.
 

Duopharma percaya, ia  boleh meraih nilai kontrak sama seperti bekalan insulin semasa daripada Kementerian Kesihatan (KKM) dalam tender akan datang yang dijangka pada separuh kedua 2025.
 

KKM memerlukan lebih daripada satu pembekal dan rakan kongsinya, Biocon Johor dengan proses pembuatan ubat penuh memberikan lebih keselamatan dalam bekalan ke atas kemudahan pengisian dan kemasan baharu Pharmaniaga Berhad, katanya.
 

Syarikat penyelidikan itu mengekalkan saranan "tambah" dengan harga sasaran (TP) berasaskan model pertumbuhan Gordon masih tidak berubah sebanyak RM1.55 sesaham. - DagangNews.com