KUALA LUMPUR 26 Jun — Defisit fiskal diunjur susut kepada 3.8 peratus tahun ini berbanding 4.1 peratus pada 2024, selari anggaran Belanjawan 2025, kata Hong Leong Investment Bank (HLIB) Research.
Firma penyelidikan itu berkata, kerajaan diramal meningkatkan jumlah perbelanjaan sebanyak 3.8 peratus tahun ke tahun (y-o-y) kepada RM421.0 bilion daripada RM405.5 bilion pada tahun sebelumnya.
Dalam Tinjauan Ekonomi dan Strategi bagi separuh kedua 2025, firma itu berkata, jumlah hasil dijangka meningkat 4.7 peratus y-o-y kepada RM339.7 bilion berbanding RM324.6 bilion pada 2024.
Ia berikutan kutipan cukai yang lebih tinggi hasil daripada pengembangan aktiviti ekonomi domestik namun langkah tarif Amerika Syarikat (AS) pula diunjur memberi implikasi negatif kepada Malaysia.
"Walaupun situasi berhati-hati boleh membawa kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) yang rendah, ia akan diimbangi sebahagiannya oleh harga minyak global," kata HLIB Research dalam nota kajiannya.
Pada masa yang sama tambah firma berkenaan, kerajaan diramal tetap komited untuk melaksanakan pelbagai langkah pembaharuan fiskalnya dalam usaha untuk memperluaskan asas percukaian negara.
Antaranya pelaksanaan perluasan Cukai Jualan dan Perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa pada 1 Julai 2025, dengan meliputi enam kategori perkhidmatan tambahan, termasuk penyewaan atau pajakan.
Bagaimanapun untuk meminimumkan impak, kerajaan memperkenalkan beberapa skim bantuan dan langkah pemudah cara dengan menyasarkan untuk berusaha meningkatkan hasil fiskal sebanyak RM5 bilion.
“Langkah-langkah lain, seperti pelaksanaan e-invois secara berperingkat, juga dijangka meningkatkan hasil kerajaan dalam jangka panjang selain rasionalisasi subsidi petrol RON95," kata firma itu.
Pelbagai usaha itu tambah HLIB Research, berpotensi memberikan penjimatan kepada kerajaan sebanyak RM8 bilion serta menyasarkan pembanterasan aktiviti penyeludupan di sempadan sejak sekian lama.
Dari segi inflasi, HLIB menjangkakan inflasi utama dan teras adalah kekal sederhana pada 2025, yang mencerminkan keadaan permintaan lebih stabil serta tekanan inflasi terkawal tidak berbahaya.
Tinjauan firma itu namun bergantung kepada perkembangan global dan perubahan kepada dasar domestik mengenai subsidi, yang dijangka sederhana disebabkan sifat dasar disasarkan. - DagangNews.com








