KUALA LUMPUR 16 Mac - Data, teknologi dan inovasi bertanggungjawab adalah kunci untuk memperkukuh ekosistem kredit yang lebih telus dan inklusif, selaras dengan pengenalan Akta Kredit Pengguna 2025 (CCA 2025), kata Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan CTOS Digital, Ankur Sehgal.
Beliau berkata, CCA 2025 menetapkan standard baharu bagi seluruh sektor pinjaman bukan bank.
“Di CTOS, kami melihat ini sebagai peluang untuk memperkasakan pemberian pinjaman bertanggungjawab melalui data, kecerdasan buatan dan sistem keputusan digital yang dipercayai.
"Matlamat kami adalah membolehkan institusi kewangan membuat keputusan kredit dengan lebih cepat, adil dan telus,” ujar beliau pada forum “Navigating Malaysia’s New Credit Landscape” yang dianjurkan oleh CTOS Digital Berhad baru-baru ini.
Forum tersebut menghimpunkan lebih 100 pemimpin kewangan, fintech, operator BNPL, dan pemangku kepentingan utama industri kredit bukan bank, untuk membincangkan implikasi praktikal CCA 2025 serta persediaan industri bagi mematuhi peraturan baharu ini.
CCA 2025, yang mula berkuat kuasa pada 1 Mac 2026, bertujuan memperkukuh perlindungan pengguna, menyelaraskan pengawalseliaan kredit bukan bank, dan menekankan amalan pinjaman bertanggungjawab serta penilaian kemampuan membayar secara telus.
Panel dan sesi khas CTOS
Forum ini menampilkan dua sesi panel utama dan satu sesi perkongsian khas CTOS. Panel pertama, “Reinventing Credit: Building a New Ecosystem under CCA 2025”, dikendalikan oleh Nirmala Supramaniam, Ketua Pendidikan Kewangan Isi Rumah AKPK, dan menampilkan Alain Yee, CEO ShopeePay, serta Ang Xing Xian, CEO CapBay.
Panel ini membincangkan impak CCA 2025 kepada operator BNPL dan pembiaya PKS, termasuk keperluan migrasi lesen, infrastruktur pematuhan, dan peralihan ke amalan pinjaman bertanggungjawab.
Sesi khas CTOS, “Driving Trusted Intelligence: How CTOS is Powering The Next Era of Data, AI and Digital Decisioning”, dibentangkan oleh Carmen Leang Yee Peng, Pengurus Besar Kanan Produk, dan Ir. Dr. Tan Chor Min, Pengurus Besar Kanan Data & AI.
Sesi ini menekankan pelaburan CTOS dalam analitik maju, penarafan kredit berasaskan AI, dan infrastruktur keputusan digital untuk membantu pemberi pinjaman memenuhi keperluan data dan penilaian kemampuan membayar yang diperkenalkan oleh CCA 2025.
Panel kedua, “CCA 2025: Balancing Compliance, Consumer Rights and Industry Responsibility”, dikendalikan oleh Sivanathan Subramaniam, Ketua Pegawai Risiko & Pematuhan Kumpulan CTOS Digital, dengan panelis Nigel William dari firma Kraal, Cheang & Ariff, dan Dato’ Indrani Thuraisingham, Naib Presiden FOMCA.
Diskusi menumpukan kepada kerangka pematuhan praktikal, akibat penguatkuasaan terhadap penyedia tidak patuh, dan peranan penting advokasi pengguna dalam membentuk persekitaran kredit yang adil.
CTOS komited memacu kredit bertanggungjawab
Sebagai peneraju maklumat kredit dan kecerdasan data, CTOS menegaskan komitmennya untuk terus menyokong institusi kewangan, fintech, dan pengawal selia dengan penyelesaian analitik risiko, pengesahan identiti, dan data pintar bagi memacu pertumbuhan kredit yang bertanggungjawab dan inklusif.
Malaysia kini berada di ambang era baharu kredit pengguna, dan kerjasama strategik semua pemangku kepentingan menjadi kunci kepada sistem kewangan yang lebih telus, adil, dan mampan. - DagangNews.com








