Dari kisah mistik ke Taj Mahal Tanah Melayu, pelaburan RM30 juta bakal ubah wajah Kellie’s Castle | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Dari kisah mistik ke Taj Mahal Tanah Melayu, pelaburan RM30 juta bakal ubah wajah Kellie’s Castle

Kellie's Castle yang dibina atas dasar cinta menyimpan kisah sejarah yang panjang.
Oleh Zaki Salleh

BATU GAJAH 20 Nov - Pihak pengurusan Kellie’s Castle merancang pelaburan berjumlah RM30 juta untuk membangunkan lokasi tarikan pelancong ikonik ini dalam tempoh 6 hingga 8 tahun secara berperingkat-peringkat.

 

Pelaburan ini bertujuan memperluaskan dan memperkayakan pengalaman pelancongan, termasuk pembangunan program pelancongan tani dan pelancongan pendidikan di kawasan bersebelahan.

 

 

 

 

 

 

 

 

Sejak Januari lalu, Kellie’s Castle diuruskan oleh Fest Imperio Sdn Bhd (FISB), sebuah syarikat yang mempunyai pengalaman luas dalam industri pelancongan dan kembara. 

 

Kini, imej baharu Kellie's Castle mahu dikenali sebagai Taj Mahal Tanah Melayu kerana nilai sejarah dan keunikan senibina, bukan kisah misteri dan cerita-cerita mistik.

 

Perak

 

Perak

 

Pengarah FISB, Mohd Tsabit Abu Bakar berkata, pihaknya telah memberikan wajah baharu kepada ikon pelancongan negeri Perak itu dengan menekankan pengalaman berbeza daripada tumpuan sebelum ini kepada kisah-kisah misteri.

 

“Kita tidak mahu lagi menekankan kisah hantu atau mistik. Ini kerana Kellie’s Castle dibina sebagai simbol cinta, ia adalah Taj Mahal Tanah Melayu.

 

“Setelah mengambil alih Kellie’s Castle yang berkeluasan 7.8 ekar, kami turut ditawarkan untuk memperluaskan tanah sehingga 48 ekar lagi milik Perbadanan Pertanian Negeri Perak (SADC) menjadikan keseluruhan 56 ekar untuk pembangunan pelancongan,” jelasnya.

 

Beliau menambah, tanah tambahan ini akan difokuskan pada skop pelancongan tani dan pelancongan pendidikan, memandangkan kawasan ladang induk hanya seluas 2 ekar dan tidak mencukupi untuk memenuhi keperluan pengunjung.

 

Perak
Mohd Tsabit Abu Bakar 

 

Perak

 

“Anggaran pelaburan asal Kellie’s Castle adalah antara RM4 hingga 6 juta, namun dengan tambahan tanah pajakan daripada SADC, nilai pelaburan kini dijangka meningkat sehingga RM30 juta bagi tempoh pembangunan jangka panjang,” kata Mohd Tsabit.

 

Untuk tahun hadapan, Kellie's Castle merancang menganjurkan pelbagai aktiviti seperti festival, program pendidikan, sejarah dan pelancongan tani. 

 

Jumlah pengunjung dijangka meningkat kepada 18,000 hingga 20,000 sebulan, berbanding 13,000 hingga 15,000 sebelum ini.

 

Selain itu, pihak pengurusan turut menekankan penglibatan komuniti sekitar Batu Gajah sejauh 20 kilometer untuk membangunkan pasaran pelancongan yang lebih luas.

 

Perak

 

Perak
Limpahan cahaya di Kellie's Castle pada waktu malam.

 

“Pada waktu malam, pemandangannya umpama Colosseum di Itali. Kami juga menyediakan tram untuk membawa pengunjung mengelilingi kawasan Kellie's Castle,” kata beliau.

 

 

 

 

 

 

 

Dengan perubahan ini, Kellie’s Castle dijangka menjadi destinasi pelancongan moden dan pendidikan, sambil mengekalkan warisan sejarah dan seni bina uniknya. - DagangNews.com