Cuckoo Holdings catat keuntungan bersih RM68.7 juta pada 9MFY2025 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cuckoo Holdings catat keuntungan bersih RM68.7 juta pada 9MFY2025

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 26 Nov – Cuckoo Holdings Berhad yang disenaraikan di Pasaran Utama pada Jun lalu mencatatkan keuntungan bersih sebanyak RM68.7 juta bagi tempoh sembilan bulan pertama 2025 walaupun menghadapi tekanan daripada kos operasi yang meningkat dan perubahan tingkah laku pengguna.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, Cuckoo berkata, kumpulan mencatatkan pendapatan sebanyak RM867.2 juta, dengan segmen Branded menyumbang RM683.8 juta atau 78.9% daripada jumlah pendapatan, manakala segmen Co-Created menyumbang RM180.5 juta (20.8%). 

 

“Keuntungan kasar kumpulan berjumlah RM276.1 juta dengan margin kasar 31.8%, manakala keuntungan sebelum cukai ialah RM95.3 juta.

 

“Prestasi suku ketiga 2025 menurun berbanding suku sebelumnya, dengan pendapatan menurun sebanyak RM42.4 juta atau 13.8%, disebabkan jualan unit yang lebih rendah dalam kedua-dua segmen,” kata Cuckoo dalam makluman tersebut.

 

Kumpulan itu berkata, ia akan mengekalkan fokus kepada pertumbuhan mampan melalui strategi pemasaran yang berhati-hati, pelaksanaan e-KYC bagi pemantauan risiko kredit dan pengembangan rangkaian perniagaan. 

 

“Antara inisiatif termasuk pembukaan Cuckoo Brandshop baharu, pengembangan ke pasaran Singapura, serta pelaburan dalam infrastruktur logistik dan pengurusan gudang bagi meningkatkan kecekapan operasi.

 

“Walaupun menghadapi cabaran jangka pendek, kumpulan yakin bahawa trend pembayaran pelanggan akan kembali normal apabila keadaan ekonomi stabil dan strategi berasaskan pemahaman keperluan tempatan, kualiti produk dan perkhidmatan akan terus menyokong pertumbuhan mampan,” kata Cuckoo.

 

Jumlah aset kumpulan setakat 30 September 2025 berjumlah RM1.62 bilion dengan jumlah ekuiti RM1.07 bilion. 

 

Tiada sebarang dividen diumumkan pada suku tersebut. - DagangNews.com