CST Auto labur RM450,000 buka hab EV Leapmotor di Perak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CST Auto labur RM450,000 buka hab EV Leapmotor di Perak

Pembukaan hab EV Leapmotor menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem kenderaan elektrik di Perak.
Oleh Zaki Salleh

IPOH 10 Nov - Kumpulan CST Auto (CST Auto) memperkukuh kehadiran dalam pasaran kenderaan elektrik (EV) di negeri ini menerusi pembukaan hab EV pertama Leapmotor.

 

Syarikat tersebut membuat pelaburan sebanyak RM450,000 tidak termasuk kos bangunan milik sendiri yang dianggarkan bernilai RM9.5 juta di Jalan Dato Kamaruddin Isa di sini.

 

Ketua Pegawai Eksekutif CST Auto, Dato’ P.R. Chandran, berkata pembukaan hab baharu itu menunjukkan komitmen syarikat untuk membawa teknologi automotif yang lebih bersih, moden dan mampan kepada pengguna di negeri ini.

 

Menurut beliau, fasiliti baharu ini menandakan langkah penting dalam perjalanan syarikat ke arah masa depan automotif yang lebih hijau dan inovatif.

 

Perak

 

“Pemilihan lokasi ini bukan sahaja strategik kerana kedudukannya di tengah bandar Ipoh tetapi juga simbolik kerana di situlah CST Auto memulakan perjalanan dalam industri automotif sejak 1994 bermula dengan jenama Citroen, Isuzu dan Proton.

 

“Dengan pelancaran hab EV ini, kami bukan sekadar membuka pusat jualan baharu, tetapi membuka lembaran baharu dalam komitmen kami terhadap kelestarian dan inovasi.

 

“Kami yakin hab EV Leapmotor ini akan menjadi pemangkin kepada perkembangan ekosistem kenderaan elektrik di Perak khususnya utara Semenanjung Malaysia,” katanya dalam kenyataan.

 

Fasiliti dengan keluasan binaan 2,560 meter persegi, serta menempatkan 6 unit paparan kenderaan dan 2 ruang serahan. 

 

Ia juga direka dengan konsep mesra alam dan lestari, sesuai dengan peranan Leapmotor sebagai jenama yang menumpukan kepada kenderaan elektrik sepenuhnya.

 

Perak
Raja Muda Perak, Raja Jaafar Raja Muda Musa diiringi Chandran (dua dari kanan) semasa merasmikan pembukaan hab EV Leapmotor milik CST Auto di Ipoh baru-baru ini.

 
Perak

 

Antara kemudahan yang ditawarkan termasuk ruang rehat pelanggan dengan akses Wi-Fi dan minuman ringan, zon pengalaman digital, serta infrastruktur pengecasan EV khas yang disediakan untuk pelanggan dan kenderaan demo.

 

Menurut Chandran, projek pembinaan hab berkenaan siap dalam tempoh hanya tiga bulan termasuk pengubahsuaian premis.

 

Hab itu akan dikendalikan oleh empat kakitangan terlatih, terdiri daripada dua juruteknik servis, seorang perunding jualan dan seorang pegawai khidmat pelanggan. 

 

“Semua kakitangan telah menjalani latihan intensif merangkumi pengetahuan teknikal EV Leapmotor serta komunikasi pelanggan bagi memastikan tahap perkhidmatan terbaik.

 

Perak

 

“CST Auto turut menubuhkan pasukan perhubungan pelanggan khusus dan memperkenalkan sistem maklum balas masa nyata yang membolehkan sebarang isu diselesaikan dengan pantas dan telus.

 

“Antara perkhidmatan selepas jualan yang disediakan termasuk penyelenggaraan dan pembaikan berjadual, pemeriksaan bateri, pakej servis dan waranti lanjutan serta bantuan tepi jalan 24 jam,” ujarnya. - DagangNews.com