Cnergenz sasar pemulihan margin mulai 2QFY26 disokong tempahan kukuh pelaburan AI – RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Cnergenz sasar pemulihan margin mulai 2QFY26 disokong tempahan kukuh pelaburan AI – RHB Research

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 14 Julai – Margin keuntungan Cnergenz Berhad dilihat berpotensi untuk pulih secara berperingkat mulai tempoh suku kedua tahun kewangan 2026 (2QFY26), menurut analisis RHB Research

 

Kata, penilaian itu berikutan lonjakan tempahan yang disokong pelaburan berkaitan kecerdasan buatan (AI), dan mengukuhkan prospek pemulihan pendapatan selepas melalui tempoh mencabar sebelum ini.

 

Firma penyelidikan tersebut menambah, peningkatan margin itu akan dipacu penghantaran peralatan 'Surface Mount Technology' (SMT) yang lebih tinggi, serta pemulihan segmen rumusan bersepadu.

 

"Peningkatan sumbangan perniagaan Original Design Manufacturer (ODM), turut dilihat memberi asas yang lebih kukuh kepada pertumbuhan keuntungan Cnergenz sepanjang FY26," ujar RHB Research lagi.

 

Justeru, ia mengekalkan saranan 'beli' dan menaikkan harga sasaran (TP) kepada 71 sen daripada 62 sen, menawarkan potensi pulangan sekitar 20% selain jangkaan hasil dividen kira-kira 2% bagi FY26.

 

Menurutnya, hasil lawatan ke tapak operasi syarikat mengukuhkan keyakinan pemulihan pendapatan mula jelas, didorong pertumbuhan kukuh buku tempahan dalam perniagaan pengedaran SMT serta segmen ODM.

 

Cnergenz_DagangNews2026

 

Jumlah jualan diperoleh Cnergenz bagi FY26 kata RHB Research, sudah melepasi keseluruhan hasil FY25 sebanyak RM114.8 juta, dipacu peningkatan permintaan berkaitan AI daripada ramai pelanggan utama.

 

"Momentum ini menyaksikan peningkatan ketara buku tempahan kepada RM190 juta setakat akhir Mei 2026 dan bersamaan nisbah perlindungan tempahan sekitar 1.65 kali daripada hasil FY25," jelas firma itu.

 

Dalam segmen ODM, produk AI tester mula mendapat tarikan komersial apabila nilai tempahan terkumpul mencecah RM11 juta pada akhir Jun 2026 selepas berjaya melepasi proses kelayakan pengeluaran.

 

Pada masa sama kata RHB Research, pembangunan platform pematerian baharu bersama pelanggan dari Eropah masih diteruskan Cnergenz dengan sasaran pelancaran komersial menjelang penghujung FY26.

 

Firma itu turut menjangkakan peningkatan pengeluaran ODM bersama pemulihan projek berkaitan memori akan membantu anak syarikatnya, Xlent, kembali mencatat keuntungan pada separuh kedua FY26.

 

Sehubungan itu, ia menaikkan unjuran keuntungan FY26 hingga FY28 masing-masing 2%, 14% dan 13%, didorong andaian hasil lebih tinggi susulan pertumbuhan buku tempahan yang kukuh. - DagangNews.com