CIMB, Khazanah kurangkan pegangan Vantris Energy susulan pelan penstrukturan semula PN17 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

CIMB, Khazanah kurangkan pegangan Vantris Energy susulan pelan penstrukturan semula PN17

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 12 Nov – CIMB Group Holdings Bhd dan Khazanah Nasional Bhd masing-masing menjual 67.73 juta saham Vantris Energy Bhd (sebelum ini dikenali sebagai Sapura Energy Bhd) pada 6 November 2025, menurut makluman kepada Bursa Malaysia.

 

Transaksi itu dijalankan melalui CIMB Islamic Bank Bhd sebagai pemegang berdaftar dan mewakili kira-kira 2.96% daripada jumlah modal terbitan Vantris Energy. 

 

Penjualan berkenaan mengurangkan pegangan kedua-dua pihak kira-kira 24.5% menjadikan CIMB dan Khazanah kini memegang pegangan tidak langsung sebanyak 208.93 juta saham atau sekitar 9.14–9.15% dalam saham syarikat itu.

 

Makluman tersebut menunjukkan bahawa penjualan saham CIMB dan Khazanah adalah berkaitan dengan transaksi yang sama, melibatkan saham yang dipegang melalui CIMB Islamic Bank.

 

Perubahan pegangan terkini berlaku kurang daripada dua bulan selepas CIMB, bersama-sama Malayan Banking Bhd (Maybank) dan RHB Bank Bhd, muncul sebagai pemegang saham utama Vantris Energy susulan pelaksanaan pelan penstrukturan semula syarikat itu pada akhir September 2025.

 

Pelan penstrukturan semula itu akan membolehkan Vantris Energy keluar dari status PN17.

 

Syarikat itu menerbitkan saham baharu dan sukuk boleh tukar tanpa cagaran Islam (RCUIDS) untuk menyelesaikan hutang kepada bank pemberi pinjaman.

 

Maybank menjadi pemegang saham bank terbesar dengan 20.27%, diikuti pegangan gabungan CIMB sebanyak 12.13% dan RHB 7.21%.

 

Melalui pelan itu, Vantris Energy mengurangkan modal syarikat, menggabungkan setiap 20 saham lama menjadi satu saham baharu dan menerima suntikan modal RM1.1 bilion daripada Kementerian Kewangan melalui Malaysia Development Holding.

 

Langkah ini bertujuan mengurangkan hutang syarikat kepada kira-kira RM5.6 bilion dan menjimatkan lebih 60% kos faedah tahunan. - DagangNews.com