Chin Hin beli tanah berharga RM31.7 juta daripada Triple-H Auto Parts, bina pangsapuri 585 unit | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Chin Hin beli tanah berharga RM31.7 juta daripada Triple-H Auto Parts, bina pangsapuri 585 unit

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 17 Okt – Chin Hin Group Property Bhd mengorak langkah strategik dalam segmen pembangunan hartanah apabila menandatangani perjanjian jual beli dengan Triple-H Auto Parts Sdn Bhd bagi membeli tanah lot di ibu negara berharga RM31.7 juta secara tunai.

 

Dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia, Chin Hin memaklumkan  perjanjian tersebut dimeterai oleh BKG Development Sdn Bhd melalui anak syarikat miliknya, BKHS Capital Sdn Bhd.

 

“BKHS berhasrat membangunkan bangunan bertingkat di atas tanah tersebut, tertakluk kepada kelulusan yang diperlukan daripada pihak berkuasa berkaitan. 

 

“Projek berkenaan dianggarkan mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM239.1 juta dan kos pembangunan kasar sebanyak RM203 juta,” kata Chin Hin.

 

Ia dijadualkan bermula pada tahun 2027 dan dijangka siap pada 2031. 

 

Projek itu akan merangkumi kira-kira 585 unit pangsapuri servis bersama kemudahan tempat letak kereta dan kemudahan sokongan lain. 

 

Saiz purata bagi setiap unit yang dicadangkan ialah sekitar 620 kaki persegi, tertakluk kepada kelulusan pelan bangunan akhir sebelum dimuktamadkan.

 

Pembiayaan projek akan diperoleh melalui pinjaman luar serta dana dalaman yang dijana daripada projek tersebut, termasuk hasil dan kutipan daripada jualan unit.

 

Chin Hin menjangkakan projek ini akan menjana keuntungan sekitar RM36 juta dan menyumbang secara positif kepada pendapatan syarikat pada masa depan.

 

“Lokasi tanah yang strategik dijangka memberi kelebihan pasaran. Ini sejajar dengan strategi kumpulan untuk memperkukuh segmen pembangunan hartanah,” kata Chin Hin.- DagangNews.com