KUALA LUMPUR 17 Okt – Cenergi SEA Berhad, anak syarikat UEM Lestra Berhad mencatat kejayaan berganda dengan meraih dua pengiktirafan di Anugerah Tenaga ASEAN 2025 melalui kategori Tenaga Boleh Baharu – Atas Grid (Grid Kebangsaan).
Anugerah berprestij tersebut disampaikan oleh Timbalan Perdana Menteri merangkap Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air Malaysia, Datuk Fadillah Yusof pada majlis yang diadakan di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur sempena Mesyuarat Menteri-Menteri Tenaga ASEAN ke-43 (AMEM) dan Forum Perniagaan Tenaga ASEAN ke-25 (AEBF-25).
Loji Janakuasa Biogas 1.56MW Cenergi West di Pulau Carey, Selangor diiktiraf sebagai pemenang bagi loji janakuasa biogas efluen kilang minyak sawit berprestasi tinggi yang disertai program tanggungjawab sosial korporat (CSR) berimpak tinggi.
Projek itu diiktiraf kerana penjanaan tenaga boleh baharu berasaskan efluen sawit yang mampan, disokong oleh inisiatif CSR yang memberi manfaat kepada komuniti tempatan.
Selain itu, Ladang Solar Tenaga 11.3MWp di Sungai Tiang, Kedah yang dikendalikan Cenergi di bawah skim New Enhanced Dispatch Arrangement (NEDA) meraih tempat kedua sebagai perintis penjana solar dagangan.
Ia merupakan projek solar agrivoltaik dagangan pertama di Malaysia dan mengorak langkah dalam liberalisasi pasaran tenaga dengan membolehkan penjualan terus tenaga elektrik bersih kepada grid kebangsaan mengikut harga pasaran.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Cenergi, Ir. Kwok Yew Hoe berkata, pengiktirafan itu mengukuhkan kedudukannya sebagai syarikat yang membangunkan loji janakuasa biogas efluen kilang minyak sawit (POME) grid bersambung terbesar di Malaysia, dengan portfolio merangkumi biomethane, solar, hidro kecil, dan inisiatif kecekapan tenaga di seluruh negara.
“Pengiktirafan di peringkat serantau ini membuktikan bahawa kami berada di landasan yang tepat menerusi inovasi yang dibawakan, serta menunjukkan peranan penting Cenergi dalam membentuk masa hadapan tenaga boleh baharu di Malaysia.
“Seiring dengan iltizam ASEAN untuk beralih ke arah tenaga bersih dan bersepadu, Cenergi komited untuk terus meneroka kaedah inovatif dalam mentransformasi sisa buangan kepada tenaga bersih sambil mengurangkan pelepasan karbon,” katanya dalam satu kenyataan.

Cenergi turut menerajui usaha peralihan tenaga yang melangkaui pembangunan tenaga boleh baharu.
Pada 2024, syarikat menerbitkan Kredit Karbon daripada loji biogas POME yang disahkan Verra, yang pertama di Malaysia dan didagangkan di platform Bursa Carbon Exchange tahun ini.
Selain itu, Cenergi giat meneroka pendekatan baharu untuk menyokong dekarbonisasi dalam sektor penerbangan, termasuk potensi penerbitan Kredit Karbon selaras garis panduan CORSIA (Carbon Offsetting and Reduction Scheme for International Aviation).
Cenergi SEA Berhad merupakan anak syarikat UEM Lestra Berhad dan penyedia penyelesaian tenaga lestari, menumpukan kepada pengurangan pelepasan karbon melalui projek RE dan kecekapan tenaga.
Cenergi ialah pengendali loji janakuasa biogas efluen sawit (POME) grid bersambung terbesar di Malaysia dengan 36 loji berkapasiti terkumpul 64.5 MW, termasuk projek dalam pembinaan.
Syarikat itu turut membangunkan ladang solar tanah dan program solar bumbung korporat dengan kapasiti keseluruhan 132.7 MWp, serta melaksanakan program EE bernilai RM48.3 juta bersama rakan strategik.
Sehingga Ogos 2025, Cenergi telah menyumbang 944 GWh tenaga boleh diperbaharui kepada grid nasional Malaysia, membantu mengelakkan lebih 4 juta tan pelepasan karbon dioksida setara (CO₂e). - DagangNews.com








